Semarak Ramadhan

August 10, 2010 by admin  
Filed under Berita

Kedatangan bulan Ramadhan menyingkap kembali kepentingan kita untuk mendidik jiwa menjadi insan islami. Mudah-mudahan dengan Ramadhan kali ini kita terbentuk menjadi hamba yang bertaqwa.

Shiken Ganbare!!

July 14, 2010 by admin  
Filed under Berita

Sungguh manusia yang bersifat dengan sifat makhlukun yang lemah itu hanya mampu berusaha. Allah lah yang menentukan segalanya. Yang penting BERUSAHA!!

Sense Our Soul 2010

July 2, 2010 by admin  
Filed under Berita

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
Islam agama yang mudah. Tetapi rupa-rupanya, semakin melewati liku-liku hidup ini, Islam tidaklah semudah yang dikata. Jika Islam itu agama fitrah yang sesuai dengan naluri semulajadi manusia, mengapa yang bergelar ibadat itu selalu berat dan membosankan, sedang maksiat juga yang menghiburkan jiwa? Hakikat-hakikat ini begitu merunsingkan jiwa yang meronta mencari jawapan, kepada persoalan-persoalan kehidupan (dan iman) yang dijanjikan Tuhan.

Lantas, bagi meredakan kekosongan jiwa-jiwa yang mencari kebenaran, Allah telah menyatukan seramai lebih dari 50 orang anak muda dalam kembara mencari jiwa di 赤城青少年交流の家 (akagiseishounen kouryuu no ie) pada 19 dan 20 Jun yang lalu. Peserta dari Iwate, Yamanashi, Tokyo, Nagaoka dan sebagainya sanggup mengharungi perjalanan berjam-jam dengan kereta mahupun tren, demi meraih redha Ilahi dan menjawab persoalan di hati tentang agama ini.

Kira-kira jam 12 tengah hari, para peserta sudah mula berkumpul di tempat program. Meskipun masing-masing letih menempuh perjalanan yang jauh, wajah peserta tetap ceria bertukar khabar dan cerita serta berkenal-kenalan sesama mereka. Mentari yang tenang memancarkan sinarnya, ibarat turut tersenyum meraikan gelak tawa gurau senda peserta sambil menikmati juadah tengah hari mereka.
Lewat jam 3 petang, seusai taaruf ringkas sesama peserta, sesi pembentangan pertama bermula. Suasana petang yang agak hangat ditambah dengan keadaan fizikal yang letih, benar-benar menguji kesabaran peserta. Tambahan pula, sesi pertama banyak mengasak minda peserta dengan persoalan-persoalan yang mengelirukan. Peserta dibawa berbincang tentang persoalan memahami agama dengan hati atau akal, tujuan penciptaan manusia dan sebagainya.

Seusai sesi pertama ditamatkan, peserta berhimpun di dataran bersama-sama penghuni-penghuni kawasan tersebut, sebelum dibawa ke khemah masing-masing. Selesai taklimat ringkas tentang penginapan malam tersebut, peserta berkumpul di padang dan sesi taaruf diteruskan. Walaupun kesempatan masa sangat terbatas, tetap tidak menghalang peserta untuk tambah mengenali antara satu sama lain dalam aktiviti yang meriah dengan gelak tawa peserta.

Kira-kira jam 8 malam, sesi pembentangan disambung semula. Peserta dibawa menyambung kembara jiwa dengan persoalan tentang matlamat dan alat untuk mencapai matlamat dalam kehidupan. Kemudian sesi pembentangan bertukar latar, peserta mula dibawa mengembara melihat kembali sejarah Islam, perit pedih sahabat-sahabat dahulu menegakkan Islam sehingga akhirnya terbina sebuah negara Islam Madinah.

Sesi malam tersebut tamat kira-kira jam 10.30 dan peserta bergerak ke khemah penginapan masing-masing. Keunikan program kali ini ialah peserta berpeluang menikmati suasana alam semulajadi yang menenangkan jiwa dan berkesempatan untuk tidur di dalam khemah yang sedikit sebanyak mengembalikan ingatan kepada tanah air tercinta. Terdapat juga peserta yang teruja untuk mengukuhkan jalinan ukhuwwah yang baru terbina lantas memanjangkan sesi taaruf dalam khemah masing-masing.

Pagi tersebut, sesudah solat subuh berjemaah, peserta dihidangkan dengan kisah sahabat bernama Abu Ayub al-Ansari. Ternyatalah peserta-peserta program kali ini terdiri dari mereka yang cekal jiwanya, kerana sepanjang sesi tazkirah subuh tersebut, rata-rata peserta begitu segar dan tidak tertidur.

Akhirnya, slot terakhir bermula pada jam 8.30 pagi. Peserta dibawa menyelami situasi umat Islam zaman sekarang, yang mana dahulunya megah memerintah 2/3 dunia, kini rebah tersungkur sehina-hinanya. Emosi peserta hanyut menghayati penderitaan-penderitaan saudara-saudara kita di Palestin, Chechnya, Iraq dan sebagainya. Akhirnya, persoalan dikembalikan semula kepada peserta, dengan realiti umat yang sebegini, apakah selayaknya kita diam tanpa berbuat apa-apa?

Perasaan peserta berbaur-baur, antara bangga dengan sejarah silam, sedih dengan situasi sekarang dan bersemangat mengejar masa depan. Masing-masing mula merasakan ada sesuatu yang hilang pada umat ini, dan sesuatu harus dilakukan, namun agak kabur tentang langkah yang perlu diambil. Di akhir slot, pembentang memberikan pandangan bahawa segala-galanya perlu bermula dengan tarbiyyah, untuk membentuk jiwa-jiwa yang memahami agama, dan salah satu langkahnya adalah melalui usrah.

Program ditamatkan dengan penyampaian omiyage (cenderamata) kepada setiap peserta berupa penanda buku dan mini poster (magnet) sebagai tanda kenang-kenangan. Sempat juga para peserta merakamkan gambar mereka di perkarangan tempat program sebagai tanda jalinan ukhuwwah yang terbina antara kita. Meskipun jarak masa yang singkat, keterikatan hati yang terjalin membuatkan para peserta melangkah meninggalkan tempat program dengan hati yang berat untuk berpisah antara satu sama lain.

Kesimpulannya, sepanjang sesi program ini, jiwa peserta dibawa dalam satu kembara yang cukup panjang untuk memahami agama Islam yang kita cintai ini. Barulah akhirnya kita faham, bahawa jawapan-jawapan kepada persoalan-persoalan kehidupan ini telah tersedia di dalam al-Quran dan sunnah, namun selama ini kita gagal menggunakan hati untuk memahami ayat-ayat Allah hingga membuatkan kita leka dan lalai daripada tujuan sebenarnya kita diciptakan.
Peserta pulang ke rumah masing-masing petang ahad itu, dengan membawa jiwa yang baru, jiwa yang menyala dengan cinta dan cita-cita, untuk menjulang kembali agama ini sehingga menjadi paling tinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam. Sama-sama kita doakan, jiwa baru yang kita peroleh ini bakal memandu langkah-langkah kita mencapai matlamat penciptaan kita. Seterusnya kita doakan, peserta yang melangkah keluar dari program ini, akan menjadi jiwa baru dalam jasad umat, yang sudah penat dan tenat diinjak serta diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam.

Sense Our Soul

June 1, 2010 by admin  
Filed under Berita

Apabila hati berbicara, akan ke manakah masa depan agama Islam yang mulia ini. Tercari-cari namun tidak ketemu. Pada saat kebingungan itu, ada yang berkata, jika tidak ketahui apa yang berlaku pada masa lalu, bagaimana ingin ketahui apa yang bakal terjadi pada masa hadapan. Semuanya berbalik kepada sejarah, sejarah yang mungkin sudah ditelan dan di mamah masa yang panjang. Adakah sejarah akan hanya tinggal sejarah, atau sejarah bakal diulangi semula dengan izin Allah?. Jawapannya terserah kepada kita yang hidup pada masa ini. Pun begitu, apa kaitan antara soul (ruh) dengan sejarah? Ingin tahu? Jika benar-benar ingin tahu, mari kita ke program Sense Our Soul.

Kawasan Kantou Dansei (daftar di sini)

Kawasan kantou Jyosei (daftar di sini)

Saya bukan tinggal di Tokyo, jadi bagaimana?

Tidak perlu risau, untuk yang tidak tinggal di Tokyo juga, program Sense Our Soul ini di adakan serentak di seluruh Jepun. Antaranya….

Hiroshima

Nara

Kami mengalu-alukan kedatangan anda semua. Jumpa di sana…

GW Explore Race Tokyo 2010

May 16, 2010 by admin  
Filed under Berita

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyanyang

Segala puji bagi Allah, Tuhan Pencipta Alam, selawat dan salam buat junjungan Rasulullah s.a.w.

Pada tanggal 2 Mei 2010, Ahad, Aspiring Malaysian Rijal(AMIR) telah menganjurkan explorace yang bertempat di kawasan sekitar Tokyo. Bersesuaian dengan namanya, explorace merupakan satu perlumbaan yang memerlukan para peserta mengembara sambil menyelesaikan tugasan-tugasan yang menanti mereka di sepanjang perjalanan ke titik penamat. Pada kali ini, seramai 35 orang peserta yang datang dari seluruh pelusuk jepun termasuklah Hokkaido, Nara, Matsue, Sendai dan Yamaguchi telah menyertai acara ini di mana mereka dibahagikan kepada 5 kumpulan. Ada antara mereka yang sudah pun mengenali antara satu sama lain, tetapi ramai yang merupakan kenalan baru bagi setiap peserta dan explorace ini merupakan satu peluang keemasan bagi mereka untuk lebih mengenali sahabat-sahabat baru yang dengan izin-Nya akan bakal berkongsi satu cita-cita yang sama dalam mengecapi pemulihan Islam di muka bumi ini.

Cuaca cerah dengan matahari memancarkan sinarnya di bumi Tokyo ini. Dengan kemudahan telefon mudah-alih diharamkan sepanjang explorace ini, para peserta memulakan langkah pertama mereka dari masjid asakusa seawal jam 9:30 pagi setelah menyelesaikan “shikaku”, dan destinasi pertama mereka adalah kaminarimon. Di situ, mereka diberikan tugasan untuk menangkap gambar papan tanda nama kedai-kedai yang tersusun panjang dan rapi. Walaupun sangat ramai para pelancong dan masyarakat jepun yang bersupu-supu di sepanjang jalan ala jepun tradisional tersebut, para peserta telah mempamerkan usaha yang gigih dengan menyelah-nyelah di suasana sempit dan padat itu.

Selesai tugasan di kaminarimon, bermulalah cabaran mereka yang sebenar di mana mereka perlu memanfaatkan kemahiran bahasa jepun dan akal kurniaan Tuhan bagi meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan tren bawah tanah Tokyo metro yang sangat berserabut ibarat jala nelayan.  Seterusnya, mereka menuju ke ueno kouen. Di sini tugasannya adalah mencari sticker yang tertulis nombor kalam Allah yang tersorok di sekitar tugu Saigo Takamori, yang sering dikenali gelaran “The Last Samurai”. Walaupun tugasan ini kelihatan mudah, ia mempunyai erti yang amat mendalam di mana para peserta perlu membacakan ayat al-Quran yang dijumpai yang berkisarkan kepada tujuan dan tanggungjawab hidup manusia sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Moga-moga aktiviti ini sedikit sebanyak telah membuka pintu hati para peserta dan juga kita semua agar kembali menunaikan tuntutan kita terhadap Tuhan pencipta alam.

Tamat agenda di ueno koen, para peserta bergegas ke destinasi seterusnya, iaitu Tokyo University(Todai), institusi pendidikan yang terunggul di Jepun. Lawatan ke Todai bukan kerana jyuken tentu menarik bagi mereka yang hadir ke Jepun sebagai pelajar. Sesuai dengan suasana kawasan siswa bijak pandai, tugasan kali ini merupakan teka silang kata yang memerlukan mereka memerah otak. Para peserta yang sudahpun semakin rapat dengan ahli kumpulan masing-masing tidak lupa juga untuk mengambil gambar kenangan berlatarbelakangkan bangunan ala barat yang serba indah.

Destinasi seterusnya bukan sahaja menjanjikan tugasan, tetapi juga makanan tengahari peserta. Tiba sahaja di hadapan taman tema Tokyo dome, mereka dihidangkan bento bagi memulihkan semula tenaga mereka untuk meneruskan pengembaraan. Walaupun jam 2 petang adalah agak lewat bagi makan tengahari, apabila berjamu dengan ahli kumpulan masing-masing, para peserta berpeluang untuk berkongsi cerita masing-masing dan bertukar-tukar gelak ketawa. Ketahuilah bahawa ukhuwah akan terjalin apabila hati sudah saling mengenali hati yang lain. Sesudahnya bersendawa tanda kenyang, bertempatkan taman tema yang dipenuhi dengan permainan-permainan yang pelbagai jenis dan berwarna-warni, dan suasana yang meriah dengan gelagat manusia yang pelbagai ragam, para peserta dihidangkan pula dengan tugasan menangkap gambar lagi. Tetapi kali ini tugasannya menarik. Gambar yang ditangkap gambar bukanlah sebarangan, tapi gambar yang berlatarbelakangkan permainan yang tertentu dengan setiap ahli kumpulan mestilah termasuk di dalam gambar tersebut sebagai syaratnya. Gambar yang ditangkap tidak lain dan tidak bukan, adalah untuk kenangan para peserta di masa akan datang agar teringat kembali masa yang dihabiskan mengembara bersama rakan taulan baru. Dengan suasana sekitar yang meriah, tugasan ini juga telah dijayakan dengan meriahnya penuh dengan senyuman para peserta.

Kalau sebelum ini perbezaan jarak antara dua checkpoint adalah dalam lingkungan 25 minit perjalanan sahaja, perjalanan ke checkpoint terakhir jauh. 25 minit menaiki tren ditambah pula dengan 25 minit berjalan kaki, para peserta tidak berputus asa walaupun menunjukkan sedikit tanda-tanda keletihan untuk menuju ke Shiba kouen yang terletak berhampiran dengan Tokyo tower. Tiba sahaja di kawasan padang yang luas, setiap kumpulan diminta membina jambatan dengan menggunakan straw. Inilah masanya para peserta mempamerkan kreativiti masing-masing bagi menghasilkan jambatan yang terkukuh sekali. Tamat 20 minit, para peserta solat beramai-ramai sebelum diuji jambatan-jambatan yang telah dibina. Alangkah indahnya jikalau setiap kali waktu solat dapat dilakukan secara berjemaah seperti ini. Walaupun diperhati dengan mata-mata yang ingin tahu masyarakat sekeliling, peserta sedikit pun tidak malu, malah bangga dengan ibadat yang dilaksanakan. Mudah-mudahan mata-mata yang ingin tahu akan dikurniakan kebenaran.

Acara penutup merupakan ujian kekukuhan jambatan para peserta. Setelah setiap kumpulan memberikan hujah masing-masing tentang binaan mereka, setiap jambatan diuji dengan botol air besar yang berisi penuh. Ade yang tumpas begitu sahaja. Bagi yang tidak, ditambah pula dengan sebotol lagi, apa-apa pun semua jambatan telah dipijak oleh fasi dan binasalah segala usaha yang dicurahkan begitu sahaja. Mungkin pedih mata yang melihat dan perit hati yang merasa. Tetapi bukankah itu sejarah yang kita alami di masa lampau? Empayar Islam yang dibina sedikit demi sedikit dalam masa ratusan tahun, yang telah membabitkan tumpahan darah dan segala macam usaha, akhirnya binasa begitu sahaja di tangan kafir. Harus kita ingat bahawa mereka jarang sekali menunjukkan belas kasihan dalam menumpaskan Islam. Begitulah mesej yang diharapkan dapat membangkitkan mereka yang masih lagi terlena dengan arus dunia. Akhirnya, kira-kira jam 6:30 petang explorace ditamatkan dengan solat maghrib berjemaah dan sesi bergambar.

BBQ 2010

April 13, 2010 by admin  
Filed under Berita

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan salam buat junjungan Rasulullah s.a.w dan ahlul bait serta para sahabat dan penolong-penolong agama Allah.

Pada 11 April 2010 bersamaan dengan hari Ahad, pihak Aspiring Malaysian Rijjal (AMIR) telah menganjurkan barbeque yang bertempat di Umi No Kouen di Yokohama. Program kali ini telah disertai oleh kira-kira 30 peserta yang dating daripada kawasan yang berbeza-beza juga dari university yang berbeza antaranya adalah dari Keio Universiti, Meiji Universiti, Denki Tsusin Universiti dan dari banyak lagi universiti lainnya.

Walaupun menempuh perjalanan yang rata-ratanya sejauh 1 jam 30 minit, tetapi ianya ternyata tidak melemahkan semangat mereka yang hadir demi untuk berjumpa semula dengan rakan-rakan lama yang sudah lama tidak berjumpa juga untuk menambah kenalan baru. Perjalanan mereka yang jauh ini tidak sia-sia kerana, bukan sahaja ikatan silaturahim itu bertambah kuat kerana dapat bertemu dengan rakan-rakan lama dan dapat mengenal rakan-rakan sesama Islam lainnya, tidak dilupakan juga menu yang enak seperti ayam panggang, ikan panggang, juga udang yang menjadi santapan di petang yang dingin.

Tanpa di arah, peserta memanggang sendiri ikan dan ayam agar ianya dapat dikongsikan dengan rakan-rakan lainnya. Apabila masuk waktu untuk solat, peserta mengambil wuduk dan mulai bersolat di taman itu dan kadangkala diperhatikan oleh mereka yang lalu lalang. Tetapi itu tidak melemahkan semangat peserta untuk menunaikan tanggungjawab mereka kepada Allah yang telah menciptakan mereka.

Setelah selesai sesi bergambar, peserta mengambil gambar. Ternyata, keindahan laut yang membiru ciptaan yang maha pencipta menjadi pilihan untuk mengambil gambar. Gambar-gambar yang diambil dan laut yang membiru yang menjadi gambar latar akan terus terpahat dalam memori kami yang hadir sebagaimana ukhwah yang terjalin pada hari itu kekal sehingga ke akhir hayat.

Selamat Menghadapi Peperiksaan

January 24, 2010 by admin  
Filed under Berita

AMIR mengucapkan Selamat Maju Jaya dan Selamat Bermujahadah untuk Peperiksaan Semester kali ini. Mudah-mudahan segala usaha kita diberkati Allah. Ingatlah bahawa Allah menilai usaha anda, bukannya keputusan anda. Semoga dipermudahkan segala urusan olehNya insyaAllah.

“Ya Tuhan Kami! Kurniakan lah rahmat dari sisi-Mu dan sediakanlah pertunjuk utk kami (dalam menyelesaikan) urusan kami”

al-Kahfi:10

Fuyu Gathering 2009

January 21, 2010 by adminah  
Filed under Berita

Bismillahirrahmanirrahim….

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan salam buat junjungan Rasulullah s.a.w dan ahlul bait serta para sahabat dan penolong-penolong agama Allah.

Alhamdulillah, syukur setinggi-tingginya kepada Yang Maha Penyayang kerana dengan limpahan rahmat yang dikurniakanNya, dapat jua kami melangsungkan Fuyu Gathering 2009 pada 26hb hingga 28hb Disember 2009 bertempat di Hakubamura, Nagano. Program selama 3 hari ini telah mengumpulkan 70 orang peserta, bilangan yang paling ramai dalam sejarah AMIR bagi akhawat. Sekali lagi kami memanjatkan kesyukuran yang tidak terkira kepada Allah Maha Kuasa yang telah menggerakkan hati para peserta untuk menyertai program ini. Subhanallah walhamdulillah.

Para peserta dihidangkan dengan satu tajuk yang sangat menyentuh hati dan mengejutkan jiwa-jiwa yang leka di bumi sakura. Ia merupakan penceritaan sebuah hadith yang berkisar tentang seorang budak yang tersepit di antara rahib dan ahli sihir. Kisah ini sangat mirip dengan keadaan kita sekarang sebagai seorang pelajar. Melalui hadith ini, para peserta dapat menilai dan memotivasikan diri untuk mencapai matlamat. Matlamat merupakan kayu ukur kepada setiap pekerjaan kita sehari-hari. Tanpa matlamat yang jelas, hidup akan terumbang-ambing bagaikan menyelusuri satu jalan yang samar-samar yang destinasi akhirnya sangat kelam untuk dilihat.

Salah satu aktiviti menarik yang dilakukan semasa program ini adalah “Cafeoretachi Live!” yang menghidangkan teh dan kopi panas serta biskut-biskut kepada para peserta. Ia dilakukan dalam keadaan santai dan pada masa yang sama berbincang. Alhamdulillah, setelah cafeoretachi live, para peserta kelihatan bersemangat dalam melontarkan pandangan masing-masing. Pemahaman peserta diperkemaskan lagi dengan aktiviti “Snomon” pada sebelah petang.

Pada hari terakhir, sebahagian peserta bermain snowboard manakala sebahagian lagi tinggal di hotel melihat tayangan movie secara percuma. Pada pukul 3.30 petang, peserta berangkat pulang ke Tokyo dengan bas dan ke tempat masing-masing dengan kereta api.

Semoga program ini mendapat keberkahan dan redha Allah SWT. Amin..

Snowboard AMIR 2009

January 6, 2010 by admin  
Filed under Berita

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengetahui.

Segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w utusan Allah yang diutuskan untuk membimbing manusia ke jalan yang benar, jalan menuju keredhaan Allah s.w.t.

Alhamdulillah pada 24-26 Disember 2009, program Snowboard 2009 yang bertempat di Iwatake Hakuba, Nagano telah berjalan dengan lancarnya. Peserta seramai 27 orang, terdiri daripada 2 kumpulan yang bertolak pada waktu yang berlainan. Kumpulan pertama terdiri daripada 12 orang, bertolak dari Shinjuku pada malam 23 Disember. Kumpulan kedua terdiri daripada 17 orang bertolak dari Shinjuku dan Nanba(Kansai). Selain daripada pelajar JAD, pelajar dari Iwate University seramai 3 orang turut hadir untuk menjadi jurulatih.

Selain memantapkan fizikal, hubungan silaturrahim antara peserta turut terjalin, terutamanya antara pelajar Iwate dan JAD. Bagi pencapaian peserta dalam snowboard, boleh dikatakan para peserta sangat cepat belajar menguasai sukan ini. Boleh dikatakan semua asas snowboard, contohnya falling-leaf, garlands, slideslipping, traversing, Linking-Turns(s-movement) telah dikuasai dengan baiknya. Pencapaian ini adalah disebabkan usaha yang bersungguh dari para peserta, jurulatih yang baik serta daya saing yang sihat antara peserta.

Kejayaan diiringi dengan usaha yang kuat. Dalam usaha yang kuat itu, jatuh semasa bermain snowboard adalah perkara yang biasa. Bangun pagi pada keesokan harinya dengan sakit-sakit badan,juga antara salah satu kenangan yang tak mungkin dilupakan oleh para peserta. Alhamdulliah kerana tiada kecederaan berat yang dialami oleh para peserta.Bagi peserta lelaki, aktiviti lasak seperti ini merapatkan hubungan silaturrahim berbanding daripada aktiviti lain, sesuai dengan fitrah mereka.

Antara perkara yang boleh diperbaiki dalam program ini ialah promosi program serta masa pendaftaran. Jika masa pendaftaran boleh dipanjangkan, lebih banyak peserta akan menyertai program ini. Promosi program haruslah lebih lengkap, untuk membuatkan peserta jelas dengan program yang akan mereka sertai.

Antara perkara yang menarik sepanjang perjalanan program ialah ketepatan masa para peserta. Para peserta bergerak tepat malah lebih awal daripada jadual yang ditetapkan. Ini mungkin kerana kegigihan serta semangat para peserta yang berkobar-kobar. Memang sukan snowboard sesuai dengan jiwa para peserta lelaki yang  ingin mencabar, dan suka mencuba. Walaupun badan sakit, tetapi pengalaman yang dialami oleh para peserta tak mungkin dapat dilupakan. Mudah-mudahan program seperti mendapat keberkatanNya. Semoga berjumpa lagi di program akan datang, insyaAllah.

Sekian.

Autumn Gathering (Dansei)

November 30, 2009 by admin  
Filed under Berita

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengetahui.

Segala puji dan puja bagi Allah, Tuhan Semesta Alam. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w utusan Allah yang diutuskan untuk membimbing manusia ke jalan yang benar, jalan menuju keredhaan Allah s.w.t.

Alhamdulillah atas segala nikmat dan pertolongan Allah jua, Perhimpunan Musim Luruh (Autumn Gathering) 21-23 November 2009 usai kita tamatkan dengan jayanya.  Bertempat di  Biwa-lake Seishounen No iE Osaka, seramai 53 orang peserta telah hadir bersama-sama untuk berhimpun merapatkan ukhuwah insaniah dan saling berkenalan dengan peserta-peserta baru. Program perhimpuan musim luruh ini merupakan perhimpunan yang  julung kali diadakan di kawasan Kansai. Kebanyakan peserta  yang hadir adalah dari sekitar kawasan Kansai dan selebihnya dari kawasan Nishi Nihon dan Kantou.

Program dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh pengarah program merangkap wakil AMIR, saudara  Mohamad Fani bin Sulaima, sejurus itu bermulalah program dengan pelbagai aktiviti yang dimulai dengan “ice breaking” yang menjunjung harapan agar para peserta saling mengenali antara satu sama lain. Menerusi  acara utama yang berkonsepkan “Explorace”, pelbagai aktiviti  telah diselitkan terutama pada hari kedua program berlansung. Kemuncaknya, program “Explorace” di akhiri dengan setiap kumpulan menyusun  “puzzles” yang dikumpul di check-point dan dicantum bersama-sama lalu terhasilnya cantuman hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud:

Sabda Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba Allah itu ada satu golongan,mereka bukan dari golongan para nabi ataupun syuhada’,tetapi para nabi dan syuhada’ mencemburui mereka,tempat mereka di sisi Allah s.w.t.Kata para sahabat,khabarkan kepada kami siapa mereka? Rasulullah S.A.W bersabda:”Mereka adalah satu kaum yang saling cinta-mencintai kerana Allah,bukan ada hubungan saudara-mara di kalangan mereka dan juga bukan kerana kepentingan.Demi Allah,di wajah mereka ada cahaya dan mereka di atas cahaya.Ketika manusia takut,mereka tidak takut.Ketika manusia bersedih,mereka tidak bersedih.Dan mereka berkata,sesungguhnya wali-wali Allah tidak takut dan tidak sedih.”

Selain dari itu, pengisian “bedah filem” juga diselitkan untuk menyedarkan peserta akan situasi dan senario masyarakat sekarang.  Antara intipati yang boleh diambil dari pengisian ini adalah; sebagai manusia kita seharusnya  merasai dengan hati, dan tiap yang berlaku dan perancangan musuh terhadap  islam sepatutnya sentiasa kita sedari.

Hari terakhir diisi dengan perkongsian pengenalan tentang Persatuan AMIR (Aspiring Malaysian Rijal) oleh wakilnya, saudara Ihsan Shahrin dan saudara Heerwan Peeie. Perkongsian ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang aktiviti-aktiviti AMIR di  Jepun sepanjang  tahun dan penerangan tentang Visi dan Misi persatuan AMIR serta objektif kewujudannya. Penutup program dirai dengan makan tengah hari bersama dan acara fotografi beramai-ramai.

Secara keseluruhannya, para peserta  berpuas hati dengan aktiviti yang dijalankan dan semoga apa yang diperolehi  di “Autumn Gathering 2009” dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Harapan penganjur buat perserta, semoga ukhuwah yang terbina kekal sampai ke akhir hayat dan semoga kita berjumpa lagi di program-program AMIR yang akan datang.

Sekian, astagfirullah…

Wassalam.

ramai2-AG09.

Next Page »