Ilham Si Tukang Kebun
July 1, 2009 by adminah
Filed under Artikel Pilihan
Seorang tukang kebun telah bermusafir selama seminggu. Selama dia berpergian, dia terlupa tentang tanamannya yang ditinggalkan tanpa penjaga. Apabila dia pulang semula ke rumah, dia mendapati tanamannya sudah layu seakan-akan mati. Tukang kebun itu merasa kecewa, kerana tanamannya yang dijagai dan dibajai dengan kasih sayang itu sudah tiada harapan lagi.
Berhari-hari tukang kebun itu sabar menyiram tanamannya, dengan harapan tanamannya akan kembali hidup semula. Pada suatu hari, satu keajaiban telah berlaku. Tanaman yang disangka mati itu telah menghijau semula. Tukang kebun itu berasa sangat gembira. Lantas dia terfikir, mengapa tumbuhannya boleh hidup semula? Sedangkan jika dilihat tumbuhan yang layu itu sudah tidak ada gunanya dan sewajarnya dibuang sahaja.
Tetapi seorang tukang kebun yang bijak, pasti tidak akan membuang tanamannya begitu sahaja. Kerana dia tahu bahawa yang menghidupkan tumbuhan adalah Allah SWT. Walaupun tumbuhan itu kelihatan layu dan mati, dia tidak sepatutnya berputus asa, bahkan dia seharusnya lebih berusaha memastikan tumbuhannya cukup syarat air, tanah, udara, cahaya matahari dan bajanya. Seterusnya dia yakin pada Allah SWT dan menyerahkan urusan selebihnya kepada Allah SWT.
Begitu juga dunia pada hari ini. Jika dilihat dunia ini sudah layu, tidak ada harapan lagi untuk melihat Islam kembali menyinar. Keruntuhan moral, kerosakan di sana sini, manusia yang leka, pejuang yang gugur, pasti bisa mematahkan semangat seorang pencinta dan pembela agama. Namun seorang yang bijak, pasti teguh azamnya, kerana dia yakin perlunya dia terus berusaha dan sabar bekerja demi agama, sebagaimana perlunya tanaman pada air, tanah, udara, cahaya matahari dan baja.
Seorang yang hidup hatinya, pasti mengerti bahawa dunia ini hanya layu, belum mati lagi. Ia bersifat sementara. Maka seorang pencinta agama tidak boleh lari dari menjalankan tugasnya menyelamatkan manusia. Dia akan sabar bekerja dan yakin kepada Allah SWT kerana dia sedar angkatan pembela agama ini tidak akan pernah pupus dan terputus nasabnya. Manusia yang lari memberontak pasti akan kembali kepada Tuhannya, dan Islam pasti akan mengambil kepimpinan dunia dengan Al-Quran suatu hari nanti.
وعن ثوبان رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ( لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق ، لا يضرهم من خذلهم ، حتى يأتي أمر الله وهم كذلك ) ، رواه مسلم
Maksudnya: Dari Tsuban r.a, Rasulullah SAW bersabda “Sentiasa akan ada satu golongan dari umatku yang menegakkan kebenaran. Mereka tidak akan tergugat oleh sesiapapun yang menentang mereka sehinggalah datang hari qiamat dan mereka tetap dalam keadaan mereka” Riwayat Muslim
sumber: wafaz


.png)

