Majlis Sambutan Hari Raya (Josei Gentei)

September 27, 2009 by admin  
Filed under Berita

poster_raya

Ramadhan kini sudah berakhir

Giliran Syawal tampilkan diri

Jom ramai-ramai bersama AMIR

Sucikan hati, raikan Aidilfitri

Tentatif :

10.30  : Ketibaan tetamu

11.00  : Majlis bermula

11.15  : Ucapan Naib Presiden AMIR

11.30  : Bersiap untuk solat

11.50  : Solat Zuhur berjemaah

12.15  : Jamuan bermula

: Video ucapan raya

: Persembahan

15.45  : Bersurai

Turut diadakan
‘Pertandingan Menganyam Ketupat’!!!

Go to  fullsize image
Inilah masa untuk asah ‘skill’ !!!
13 Syawal 1430
bersamaan
4 Oktober 2009
Bertempat di Takashimadaira Hall, Tokyo

Perutusan Eidul Fitri

September 20, 2009 by admin  
Filed under Minda Presiden

Comments Off

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) rabbul ‘alamin (Tuhan yang mencipta dan memelihara seluruh alam). Selawat kepada junjungan rasul, Muhammad, yang mulia dan kepada keluarga serta sahabat baginda, generasi pertama para pejuang agama ini, yang mewariskan petunjuknya kepada kita umat manusia dan seluruh alam.

Sesungguhnya tarbiyah yang terbaik hanyalah yang datang dari Tuhanmu. Selamat graduasi saya ucapkan kepada seluruh umat islam di Jepun khususnya dan umumnya di seluruh pelusuk dunia. Yang telah menyempurkan ibadah puasa dan menjalani aktiviti men’recharge’ diri. Mungkin ramai orang yang diberi kesempatan untuk mendaftarkan diri dan hadir ke kem tarbiyah ini. Tetapi, tidak semua orang diberikan peluang olehNya melalui untuk kem ini dengan memperoleh kebaikan di dalamnya. Sesungguhnya anda telah berjaya (Almukminun, : 1) Apapun kebaikan yang kita perolehi dari bulan yang penuh berkah ini, adalah dengan izinNya dan janganlah sekali-kali kita merasa bangga dengan tindakan, amalan, dan ibadah kita yang sedikit itu. Sesungguhnya ini hanyalah merupakan satu dari persinggahan (seperti kem musim panas) dalam pendidikan kita yang panjang. Banyak lagi yang perlu kita harungi dalam membebani tugas yang mulia ini.

Sesungguhnya ibadah (solat, puasa, menghayati al-Quran, bersedekah dan sebagainya) itu adalah merupakan bekal. Bekal buat ujian yang saban hari menjenguk kita. Bekal buat perjuangan yang berpanjangan. Tiadalah ibadah itu melainkan untuk mengisi api perjuangan yang makin kehabisan minyaknya. Untuk menjahit layar-layar kapal yang koyak di tengah-tengah pelayarannya. Semoga api dakwah dapat terus kita nyalakan. Semoga pelayaran dapat kita teruskan di lautan dunia yang bergelora ini.

Amal ibadah perlulah diselarikan dengan perjuangan. Kita tidak mengisi minyak melainkan untuk menyalakan api, tidak pula menjahit layar melainkan untuk meneruskan perjalanan. Kita bukannya semata-mata ‘abid, tetapi juga singa-singa Allah yang sentiasa menjaga agamaNya.

“Janganlah pula amal ibadah yang agong ini kau rosakkan!!” jangan kau rosakkan dengan maksiat di bulan Syawal. Ramadhan adalah stesen untuk mengambil bekal, buat perjalanan setahun. Sampai kau tiba pula ke stesen Ramadhan yang seterusnya, ketika itu kau sangat merasa dahaga dan tibalah masanya untuk mengambil bekal semula.

Selamat meraikan hari graduasi kita dari kem tarbiyah ramadhan kali ini. Akhir kata saya akhiri dengan sebuah hadith diriwayatkan oleh Sufyan bin Abdullah (radhiAllahu ‘anhu)

Aku berkata kepada Rasulullah “Katakan kepadaku sesuatu tentang Islam, yang aku tak akan bertanya tentangnya lagi selepas itu.” Rasulullah menjawab “Katakan aku beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah”

Hadith riwayat Imam Muslim

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Amir Syahir bin Amir Hamzah

Presiden AMIR

Aku Baru Terjaga

September 9, 2009 by admin  
Filed under Artikel Pilihan

“Kata-kata manusia itu ibarat patung yang tidak benyawa, apabila dia mati kerananya, barulah ketika itu kata-katanya akan mula hidup dan menjalar merata.” Begitulah kira-kira, kata-kata seorang syuhada agong abad ke-20, sehingga tidak mengharuskan saya untuk menyebut namanya. Begitu jualah manusia, manusia itu ibarat sesuatu yang mati.

Benar, memang benar. Persis seperti yang anda lihat di filem-filem matrix, manusia yang hidup di abad ini sebernarnya adalah ibarat patung-patung yang mati. Gerak-geri dan kerjanya sudah terprogram dan ia selesa dengan itu. Selesa kerana dengan program yang diprogramkan itu ia dapat, paling tidak melepaskan dirinya dari permasalahan. Buat apa bersusah-payah, berpenat-lelah dan bermati-mati untuk mengubah sistem yang sedia ada. Terima sajalah seadanya, inilah yang telah ditakdirkan untukku.

Tidak, sekali-kali tidak. Aku ingin menjadi manusia yang hidup, bukan mati. Seperti ada kata-kata inggeris yang pernahku dengarkan, “everyman dies, but not everyman really live”. Kadang-kadang aku menyesali keadaan ini, namun aku tidak mampu mengubahnya. Kalaupun aku ingin mengubahnya aku terpaksa menempuh liku-liku yang amat sukar. Nanti!. Sudah!, sebelum aku pergi lebih jauh, aku ingin mengundur diri. Jangan nanti terjerumus pula aku ke lembah perjuangan ini. jangan kau libatkan aku, perjuanganmu sangat panjang, melebihi usiaku, biarlah aku hidup dalam matrix ini. Paling tidak, aku dapat melepaskan diriku, gajiku RM3000. Cukuplah, cukuplah. Biarkan aku dalam matrix ini.

Perjuangan yang kau katakan ini memang terpuji, memang mulia, memang agong. Aku akui… tapi aku … aku ingin hidup untuk diriku, aku ingin melepaskan diriku. Sudah, jangan kau libatkan aku. Aku rela berkubur di alam matrix ini. Biarlah, baik kapitalis mahu apapun, semua yang telah ditakdirkan untukku, aku terima saja. Paling tidak, aku dapat melepaskan diriku, aku punya gaji RM3000…

Duhai “aku”… pernahkan engkau bermimpi? Dalam suatu mimpi yang indah, kau bermain, bersuka, atau makan kegemaranmu? Seakan-akan ia sangat benar, seakan-akan kau betul-betul hidup di dalam mimpimu itu. Lalu apa terjadi ketika jagamu? Semuanya itu lenyap dalam sekelip mata, kau cuba juga menggapai apa yang termampu, tapi gapaianmu itu lenyap sesaat saja. Lalu musnah semua mimpi-mimpi indahmu. Kau terjaga dan kau sedari kau tidak punya apa sebanarnya. Itulah ibaratnya hakikat hidup ini. Kau terasa indah, sangat selesa dengan kedudukanmu. Dengan gajimu yang sudah cecah RM3000. Kerana paling tidak, kau dapat melepaskan dirimu. Dapat hidup untuk dirimu. Lalu apa terjadi ketika ajal datang menjemputmu? Semuanya itu lenyap sebentar sahaja. Barulah ketika itu kau sedar, rupanya kau tidak punya apa. Itulah hakikatnya kehidupan.

Duhai “aku”, kau lihat para pejuang yang bersusah-payah, berpenat-lelah, dan bermati-mati itu, mereka tak punya apa. Mereka tak punya gaji RM3000. Mereka tak punya hidup sepertimu. Mereka tak punya “hidup untuk diriku”. Kerana mereka punya “hidup untuk orang lain”. Segala yang mereka usahakan, tidak ada yang untuk diri mereka. Sehingga ajal datang menjemput mereka. Lalu mereka punya segala-gala, punya gaji bukan cuma RM3000. Mereka ada segala selesa, dan mereka kini dapat melepaskan diri mereka, untuk kehidupan yang selama-lama. itulah mimpi indah mereka. Ketika itu duhai “aku”, kau lihat mereka tidak lagi bersusah-susah, berpenat-lelah dan bermati-mati. Mereka bersuka-suka, bermain-main bersama-sama pasangan mereka, dan makan kegemaran mereka. Bukan cuma untuk satu ketika, tetapi untuk selama-lamanya. Nah, itulah harganya, untuk satu kenikmatan yang selama-lamanya. Itulah harganya. Sebuah pengorbanan, harga sebuah hidup yang bukan untuk diri mereka. Bukan untuk melepaskan diri mereka dan berkubur di alam matrix ini. tapi hidup mereka, “hidup untuk orang lain”. Mereka berkorban untuk orang lain. Supaya orang lain dapat menerima panggilan islam. Kerana itulah tugas kita. Iaitu,

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (al-Baqarah : 30)

dan..

Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. (al-Dzaariyaat :56)

 

 

Semarak Ramadhan 2009

September 4, 2009 by adminah  
Filed under Berita

Assalamualaikum..

Alhamdulillah Ramadhan bertandang lagi..

Pada 8 Ramadhan 1430 Hijrah bersamaan 29 Ogos 2009 yang lalu, AMIR telah menganjurkan program Semarak Ramadhan bertempat di .Masjid Asakusa, Tokyo. Program yang telah dihadiri seramai 27 orang jyosei dan 30 orang dansei yang kebanyakannya dari kalangan pelajar hadir, memeriahkan majlis.

Majlis dimulai dengan peserta berkumpul di masjid seawal 6 petang dan kemuadiannya, majlis berbuka, dengan juadah ringan iaitu, kurma, air sirap biji selasih, kuih-muih tempatan seperti keria, kek kukus, agar-agar dan juga pisang menjadi santapan kami tatkala itu.

Usai sahaja solat maghrib, sedikit perubahan tentative dilakukan di mana slot pengisian didahulukan terlebih dahulu. Pengisian berkisar mengenai Puasa dan Taqwa sebagaimana firman-Nya dalam ayat 183, surah Al-Baqarah,

‘Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke ataskamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.’ [Al-Baqarah, 2 : 183]

Selain itu, perkongsian mengenai kepentingan tarbiyah sebagai penduduk di negara tanpa pegangan aqidah seperti Jepun ini diteruskan. Alhamdulillah, meski pengisian yang kadang timbul tenggelam antara speaker yang kurang jelas dan suara hadirin masjid tatkala itu, namun, telinga masih dapat menangkap sedikit sebanyak hikmat ilmu yang disampaikan.

Berkat kesabaran menunggu juadah berat sampai, Alhamdulillah, Juadah makan malam akhirnya tiba, iaitu roti nan dan kari daging kambing. Untuk pengetahuan, roti nan dan kari adalah menu utama dalam kalangan orang Pakistan yang telah menaja makan malam kami pada program itu.

Selepas solat tarawikh, sebelum bersurai, sedikit tazkirah atau peringatan menyentuh hati-hati kami yang hadir pada malam itu. Meskipun perkongsian itu, hanyalah sebentar cuma, tapi, ibrah atau pengajaran yang dapat diambil dirasakan begitu besar sekali, berkenaan tanggungjawab kita sebagai hamba, dan sebagai khalifah di muka bumi.