Autumn Gathering (Dansei)

November 30, 2009 by admin  
Filed under Berita

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengetahui.

Segala puji dan puja bagi Allah, Tuhan Semesta Alam. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w utusan Allah yang diutuskan untuk membimbing manusia ke jalan yang benar, jalan menuju keredhaan Allah s.w.t.

Alhamdulillah atas segala nikmat dan pertolongan Allah jua, Perhimpunan Musim Luruh (Autumn Gathering) 21-23 November 2009 usai kita tamatkan dengan jayanya.  Bertempat di  Biwa-lake Seishounen No iE Osaka, seramai 53 orang peserta telah hadir bersama-sama untuk berhimpun merapatkan ukhuwah insaniah dan saling berkenalan dengan peserta-peserta baru. Program perhimpuan musim luruh ini merupakan perhimpunan yang  julung kali diadakan di kawasan Kansai. Kebanyakan peserta  yang hadir adalah dari sekitar kawasan Kansai dan selebihnya dari kawasan Nishi Nihon dan Kantou.

Program dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh pengarah program merangkap wakil AMIR, saudara  Mohamad Fani bin Sulaima, sejurus itu bermulalah program dengan pelbagai aktiviti yang dimulai dengan “ice breaking” yang menjunjung harapan agar para peserta saling mengenali antara satu sama lain. Menerusi  acara utama yang berkonsepkan “Explorace”, pelbagai aktiviti  telah diselitkan terutama pada hari kedua program berlansung. Kemuncaknya, program “Explorace” di akhiri dengan setiap kumpulan menyusun  “puzzles” yang dikumpul di check-point dan dicantum bersama-sama lalu terhasilnya cantuman hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud:

Sabda Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba Allah itu ada satu golongan,mereka bukan dari golongan para nabi ataupun syuhada’,tetapi para nabi dan syuhada’ mencemburui mereka,tempat mereka di sisi Allah s.w.t.Kata para sahabat,khabarkan kepada kami siapa mereka? Rasulullah S.A.W bersabda:”Mereka adalah satu kaum yang saling cinta-mencintai kerana Allah,bukan ada hubungan saudara-mara di kalangan mereka dan juga bukan kerana kepentingan.Demi Allah,di wajah mereka ada cahaya dan mereka di atas cahaya.Ketika manusia takut,mereka tidak takut.Ketika manusia bersedih,mereka tidak bersedih.Dan mereka berkata,sesungguhnya wali-wali Allah tidak takut dan tidak sedih.”

Selain dari itu, pengisian “bedah filem” juga diselitkan untuk menyedarkan peserta akan situasi dan senario masyarakat sekarang.  Antara intipati yang boleh diambil dari pengisian ini adalah; sebagai manusia kita seharusnya  merasai dengan hati, dan tiap yang berlaku dan perancangan musuh terhadap  islam sepatutnya sentiasa kita sedari.

Hari terakhir diisi dengan perkongsian pengenalan tentang Persatuan AMIR (Aspiring Malaysian Rijal) oleh wakilnya, saudara Ihsan Shahrin dan saudara Heerwan Peeie. Perkongsian ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang aktiviti-aktiviti AMIR di  Jepun sepanjang  tahun dan penerangan tentang Visi dan Misi persatuan AMIR serta objektif kewujudannya. Penutup program dirai dengan makan tengah hari bersama dan acara fotografi beramai-ramai.

Secara keseluruhannya, para peserta  berpuas hati dengan aktiviti yang dijalankan dan semoga apa yang diperolehi  di “Autumn Gathering 2009” dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Harapan penganjur buat perserta, semoga ukhuwah yang terbina kekal sampai ke akhir hayat dan semoga kita berjumpa lagi di program-program AMIR yang akan datang.

Sekian, astagfirullah…

Wassalam.

ramai2-AG09.

Perutusan Eidul Adha

November 26, 2009 by admin  
Filed under Minda Presiden

Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Segala pujian bagi Allah, Pemelihara dan Pentadbir sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari pembalasan. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad saw. yang diutuskan membawa rahmat untuk seluruh alam. Juga ke atas keluarga Baginda, Sahabat-sahabat, dan mereka yang menjejaki jalan Baginda sehingga hari akhirat.

Saudara saudari yang saya hormati,

Saya ingin mengajak kalian semua untuk duduk sejenak dan perhatikan saudara-mara seaqidah yang berada di seluruh pelusuk dunia pada hari ini. Kaum muslimin menjalani kehidupan secara berpuak-puak dan berselisih pendapat. Sedar atau tidak, musuh-musuh Islam telah berjaya merenggangkan hati-hati kita dan erti persaudaraan yang sebenar telah dicemarkan. Malah umat Islam berada dalam kebimbangan dan kecelaruan dalam memahami arah tuju kehidupan mereka lantaran jauhnya mereka dari jalan yang ditunjukkan oleh Nabi saw. Lalu kita hidup dalam keadaan tamadun yang mundur sedangkan agama yang kita anuti merupakan agama yang paling lengkap dan sempurna. Agama yang telah membawa manusia ke arah menghayati nilai kemuliaan insan serta memelihara hak-hak manusia dan kehidupan di sekelilingnya.

Saudara saudari yang saya kasihi,

Mari kita perhatikan pula masyarakat yang memegang tamadun dunia pada hari ini. Cuba kita bandingkan sama-sama amalan dan tabiat mereka di dunia ini yang melayakkan mereka dicontohi dan disegani umat manusia. Apakah unsur-unsur yang ada pada diri mereka tetapi tiada dalam diri umat Islam? Masyarakat Jepun adalah bangsa yang terdekat bagi sebahagian besar dari kita. Mereka terkenal dengan sikap disiplin dan menjaga etika-etika kemasyarakatan. Sebagai contoh yang mudah, kita dapat lihat bagaimana mereka benar-benar mengambil berat tentang kebersihan dan alam sekitar. Mereka tidak akan bertolak ansur dengan pembuangan sampah yg tidak betul. Sampah-sampah diasingkan mengikut kategori masing-masing dan hanya dikutip pada hari-hari tertentu sahaja. Barang-barang buangan seperti perabot dan alat elektronik pula akan dikenakan bayaran tertentu. Inilah sistem mereka yang sebenarnya bukanlah memudahkan tetapi lebih menyusahkan diri mereka semata-mata untuk menjaga alam ini.

Saudara saudari pembaca yang dirahmati Allah,

Kita seringkali melafazkan ungkapan ‘pengorbanan’ setiap kali menjelangnya Eid ul-Adha dimana kisah pengorbanan besar Nabi Ibrohim as. dikenang kembali dan dihayati bersama. Tetapi ketahuilah bahawa untuk mengubah mentaliti seluruh ummah kita haruslah mengubah mentaliti diri sendiri terlebih dahulu. Masyarakat Jepun telah menerapkan sistem yang tersusun tetapi sukar, namun tetap mampu dilaksanakan disebabkan komitmen dan mentaliti yang ada pada setiap individu. Mereka lebih sanggup untuk menyusahkan diri sendiri demi memudahkan orang lain. Bukankah ini yang Islam telah anjurkan iaitu mengutamakan saudara-saudara kita lebih daripada diri kita sendiri? Bukankah ini sebahagian daripada pengorbanan? Walaupun kelihatan kecil, tetapi seandainya setiap muslim berkorban untuk mengubah diri mereka bermula dari perkara-perkara kecil sebegini, alangkah hebatnya umat ini apabila kita mampu memiliki mentaliti yang maju dari sudut akhlak dan bukanlah material semata-mata.

Saudara. Ayuh kita perbaharui iman kita! Contohilah mereka yang berada di sekeliling kita. Ambillah yang jernih dan jauhilah yang keruh. Sesungguhnya perubahan yang baik itu memerlukan pengorbanan, kerna syaitan dan tentera-tenteranya tidak akan senang melihat umat ini berada dalam keimanan.

“Dan diantara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata, dan Allah pula amat belas kasihan akan hamba-hambanya.” (Surah al-Baqarah: 207)

Sebagai akhir kata, Saya bagi pihak Aspiring Malaysian Rijal(AMIR) mengucapkan Eidul Adha Mubarak kepada semua pelajar yang menuntut di Seluruh Jepun.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Amir Syahir bin Amir Hamzah

Presiden AMIR

AMIR mengucapkan EIDUL ADHA MUBARAK!

November 26, 2009 by admin  
Filed under Berita

Aspiring Malaysian Rijal ( AMIR ) mengucapkan

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA

Kepada semua pelajar Malaysia yang menuntut di Jepun

pposter-raya-haji-copy

Autumn Gathering; Aki Combo 09

November 26, 2009 by adminah  
Filed under Berita

Assalammualaikum wbt. Dgn nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji-pujian bagi Allah tuhan yang selayaknya disembah. Selawat dan salam ke atas pemimpin kita, junjungan Nabi Muhammad SAW, ke atas keluarga baginda dan pengikut-pengikutnya.
Amma ba’d

Alhamdulillah pada tanggal 21 hingga 23 haribulan November telah dijalankan program Autumn Gathering bagi bahagian akhawat di National Myoko Youth Learning Center bertempat di Niigata. Program selama 3 hari 2 malam ini telah dihadiri seramai lebih kurang 60 orang peserta dari pelbagai pelusuk di negara Jepun meliputi peserta dari pulau Kyushu, Kansai, Kantou sehingga ke Tohoku.  Selain itu, seorang peserta dari New Zealand juga turut memeriahkan lagi gathering kali ini. Bertemakan Aki Combo 2009, Autumn Gathering akhawat ini diadakan dengan pengisian kombinasi 2 tajuk iaitu pembedahan buku Al-Maududi bertajuk Shahadatul Haq dan juga Sayonara Jahiliah. Pengisian dijalankan sebanyak 3 slot dan diselangi dengan tayangan-tayangan video.

Selain itu juga peserta-peserta yang mengikuti program ini juga telah menunjukkan bakat masing-masing melalui Malam Aspirasi Seni di mana lakonan-lakonan, sketsa dan dikir barat telah dipersembahkan oleh peserta-peserta mengikut kumpulan masing-masing bagi meningkatkan pemahaman peserta tentang slot dan juga sebagai aplikasi Shahadatul Haq dan Sayonara Jahiliah. Autumn Gathering kali ini diakhiri dengan Majlis Penutup dan peserta-peserta telah pulang dengan hadiah kreatif clay hasil tangan peserta sendiri yang ditukar-tukar antara mereka.

Jazakumullahu khairan katsira buat semua peserta-peserta khasnya, penceramah dan juga ajk-ajk yang terlibat dalam Autumn Gathering Aki Combo 2009 ini. Bertemakan “Lets Turn Into A New Leaf; Inner and Outer”, diharapkan peserta dapat pulang ke tempat masing-masing dengan menjadi individu muslim yang lebih baik lagi.

Semoga kehangatan ukhuwah yang dirasai berterusan hingga ke syurga.

Wassalam.

Khutbah Hari Raya Aidil Adha

November 26, 2009 by admin  
Filed under Artikel Pilihan

Assalamualaikum wrt bth.

Allahu akbar 3x. Allahu akbar 3x. Allahu akbar 3x Walillahilhamdkhutbah

Hari ini adalah hari besar anugerah Allah SWT kepada umat Islam. Rasulullah SAW telah bersabda ketika menyaksikan kaum Aus dan Khazraj merayakan hari kebesaran mereka. Lalu Rasulullah SAW mengatakan bahawa Allah telah menganugerahkan kepada umat Islam dua hari kebesaran yang lebih baik iaitu Eid Adha dan Edi Fitri.

Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud:

“Dari Anas bin Malik, Nabi datang ke Madinah dan melihat mereka merayakan dua hari kebesaran. Baginda bertanya, “Apakah dua hari ini? Mereka menjawab, “kami biasa merayakan dua hari ini pada zaman Jahiliyah. Rasulullah SAW bersabda “Allah telah menggantikannya dengan dua hari yang lebih baik: Eid-ul-Fitri dan Eid-ul-Adha.

Eid-ul-Adha mengambil sempena ‘udhiyah yang bermaksud qurban. Ia juga disebut sebagai yaum-un-Nahar (Hari di mana ibadah Qurban dilaksanakan)

Imam Bukhari meriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari:

“Dari al-Barra bin Azib: Aku mendengar Rasulullah SAW menyampaikan khutbah. Baginda bersabda, “Perkara pertama yang perlu dilakukan pada hari ini ialah mendirikan solat, dan selepas itu, kamu menyembelih haiwan qurban; dan sesiapa yang melakukan ini berjalan di atas sunnah ku”

Ibadah qurban bukan sahaja merupakan sunnah Nabi SAW bahkan sunnah Nabi terdahulu sejak dari Adam AS. Syariat ibadah qurban pertama kali diwajibkan kepada anak-anak Adam AS sebagai ujian kepada mereka. Seerah Nabi adam AS menunjukkan Habil telah Berjaya di dalam ujian ini sedang Qabil gagal dalam ujian tersebut. Syariat yang dilaksanakan pada hari ini adalah dikaitkan dengan peristiwa penyembelihan Nabi ismail AS boleh bapanya Khalilullah Nabi Ibrahim AS.

Ibadah qurban yang dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS membawa pengajaran yang cukup banyak kepada kita sebagai umat islam. Pertama ibadah qurban ini bukanlah merupakan satu ibadah yang berbentuk peribadi sifatnya kerana ia melibatkan dukungan seluruh institusi keluarga Ibrahim AS. Apabila Nabi Ibrahim AS bermimpi yang merupakan perentah Allah kepadanya untuk mengorbankan Ismail maka dia telah menanyakan pandangan isterinya Siti Hajar. Nabi Ibrahim bukan berhasrat untuk mendapat persetujuan isterinya terlebih dahulu sebelum melaksanakan perentah Allah SWT tetapi untuk menegaskan bahawa ini adalah perentah Allah yang tidak mungkin dibantah. Lalu dijawab oleh Siti Hajar sekiranya ia merupakan satu ketetapan Allah maka laksanakanlah. Ini juga jawapan yang diberikan oleh Siti Hajar ketika beliau ditinggalkan bersama Ismail yang masih bayi di bumi gersang Mekah.

Siti Hajar bertanya kepada Nabi Ibrahim AS, Mengapa tinggalkan aku di sini. Beliau melihat di sekeliling gurun yang kontang dan batu-batan keras di sekeliling tanpa ada tanda-tanda kehadiran manusia. Nabi Ibrahim AS sudah bulat hatinya, dia hanya mendiamkan diri, dan tidak ada sepatah perkataanpun yang harus keluar dari mulut baginda yang menandakan bantahan terhadap perentah Allah SWT. “Adakah ini satu perentah dari Allah?” Siti Hajar terus bertanya. Nabi Ibrahim tetap mendiamkan diri. Siti Hajar pasrah dan berkata ‘Kalau begitu Allah SWT akan memelihara kami”, beliau pasrah dan tunduk kepada Rabbul Jalil

Nabi Ibrahim AS juga bertanya kepada Nabi ismail tentang pandangannya. Jawapan yang diterima oleh Nabi Ibrahim AS cukup menyenangkan hatinya. Ini adalah bukti bahawa ibadah qurban adalah satu amal yang sepatutnya mendapat dokongan dan penglibatan setiap ahli keluarga yang serius untuk mengabdikan dirinya kepada Allah SWT.

Sesungguhnya perentah qurban yang dijalankan oleh Nabi Ibrahim AS terhadap anak kesayangannya amat berat bagi seorang insan biasa. Sepanjang usianya Nabi Ibrahim AS berdoa agar dikurniakan seorang zuriat.

وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَٲهِيمُ رَبِّ ٱجۡعَلۡ هَـٰذَا ٱلۡبَلَدَ ءَامِنً۬ا وَٱجۡنُبۡنِى وَبَنِىَّ أَن نَّعۡبُدَ ٱلۡأَصۡنَامَ (٣٥) رَبِّ إِنَّہُنَّ أَضۡلَلۡنَ كَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلنَّاسِ‌ۖ فَمَن تَبِعَنِى فَإِنَّهُ ۥ مِنِّى‌ۖ وَمَنۡ عَصَانِى فَإِنَّكَ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (٣٦) رَّبَّنَآ إِنِّىٓ أَسۡكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِى بِوَادٍ غَيۡرِ ذِى زَرۡعٍ عِندَ بَيۡتِكَ ٱلۡمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱجۡعَلۡ أَفۡـِٔدَةً۬ مِّنَ ٱلنَّاسِ تَہۡوِىٓ إِلَيۡہِمۡ وَٱرۡزُقۡهُم مِّنَ ٱلثَّمَرَٲتِ لَعَلَّهُمۡ يَشۡكُرُونَ (٣٧)

“Dan apabila Ibrahim berkata: Tuhanku! Jadikanlah negeri ini , negeri yang aman, dan jauhkanlah aku berserta anak cucuku agar tidak menyembah berhala. Wahai Tuhan, berhala-berhala itu telah menyesatkan banyak dari manusia. Siapa yang mengikutiku, maka orang itu termasuk golonganku, dan siapa yang mendurhakaiku, maka Engkau Maha Pengampun, maha Penyayang. Wahai Tuhan, sesungguhnya aku telah menempatkan sebagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, Ya Tuhan agar mereka melaksanakan solat, maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur”

Surah Ibrahim: 35 – 37.

Riwayat mengatakan baginda hanya dikurniakan seorang putera ketika usianya sudah lanjut, mencecah 90 tahun.

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى وَهَبَ لِى عَلَى ٱلۡكِبَرِ إِسۡمَـٰعِيلَ وَإِسۡحَـٰقَ‌ۚ إِنَّ رَبِّى لَسَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ (٣٩) رَبِّ ٱجۡعَلۡنِى مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِى‌ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَآءِ (٤٠)

“Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku dihari tuaku Ismail dan Ishaq. Sungguh Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa. Wahai Tuhanku, jadikanlah aku dan anak-cucuku orang yang tetap melaksanakan solat, wahai Tuhan kami, perkenankanlah doaku”

Surah Ibrahim: 39 – 40

Apabila Ismail sudah berusia lebih kurang 10 tahun, sudah berputik kasih saying yang mendalam terhadap seorang anak remaja yang diharapkan akan meneruskan usaha tabligh dan dakwahnya, diperentahkan Allah pula untuk dikurbankan. Dan Nabi Ibrahim AS sebagai seorang manusia adalah seorang insan biasa yang tidak terkecuali dari rasa kasih, sedih dan pilu dengan apa yang dihadapinya. Tetapi sekali lagi perentah Allah mengatasi segala-galanya, maka semua perasaan itu harus dikorbankan demi membuktikan kasih-sayang tertinggi dan perentah tertinggi yang pasti dijunjung ialah perentah Allah SWT. Ini juga adalah pengajaran penting bagi kita umat Islam pada hari ini. Apabila datang perentah Allah, maka segala perkara adalah kecil dan pasti dilaksanakan bagaimana besar sekalipun rintangan yang dihadapi.

Pertarungan yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim AS belum berakhir. Dalam perjalanan untuk menjalankan perentah tersebut, baginda dihasut oleh Iblis laknatullah agar menimbangkan semula tindakannya. Tetapi setiap kali diseru Nabi Ibrahim AS melontarnya dengan batu. Tiga kali iblis dilontar dengan batu dan tidak sedikitpun Nabi Ibrahim AS goyah hati untuk meneruskan niatnya. Inilah yang diabadikan dalam manasik haji di dalam amalan melontar tiga jamrah. Ia adalah satu gambaran apabila seseorang hendak berqurban maka pasti syaitan akan menyelinap masuk dan membisikkan kata-kata pujuk rayu agar kita membatalkan niat untuk berkorban. Pengajarannya ialah ‘lempari’ bisikan itu dan membulatkan hati untuk melaksanakan perentah Allah tanpa sedikitpun merasa ragu.

Apabila sampai ke tempat penyembelihan maka Nabi Ibrahim AS telah menyembelih Nabi ismail AS. Diriwayatkan pisau telahpun mencecah batang leher Ismail AS dan sekonyong-konyong itu Allah menggantikannya dengan seekor qibas. Ini adalah hadiah bagi orang yang yakin dengan perentah Allah, yakin bahawa disebalik perentah Allah yang cukup berat itu tersimpan sebuah hikmah dan nikmat yang cukup besar. Keyakinan ini hanya dapat dirasai oleh orang yang bulat keimanannya kepada Allah SWT. Maka ibadah qurban yang kita lakukan pada hari ini adalah satu latihan untuk memupuk keimanan sejati dan keyakinan yang tidak berbelah bagi terhadap Allah SWT. Ia adalah satu bentuk persediaan untuk melahirkan sifat komando, iaitu bersiap sedia untuk menjalankan perentah Allah dalam semua situasi. Apabila datang perentah Allah untuk infaq maka tanpa tangguh-tangguh lagi kita akan melaksanakannya.

۞ وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٍ۬ مِّن رَّبِّڪُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ (١٣٣) ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلۡڪَـٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ‌ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

“Bersegeralah kamu kepada keampunan Allah dan syurgaNya yang seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa iaitu mereka yang membelanjakan hartanya dalam keadaan lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan”

Surah Ali Imran: 133 – 134.

ٱنفِرُواْ خِفَافً۬ا وَثِقَالاً۬ وَجَـٰهِدُواْ بِأَمۡوَٲلِڪُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

“Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan maupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”

Surah at-Taubah: 41

كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلۡقِتَالُ وَهُوَ كُرۡهٌ۬ لَّكُمۡ‌ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡ‌ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ شَرٌّ۬ لَّكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

“Diwajibkan ke atas kamu qital (peperangan) meski kamu membencinya. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah maha tahu sedang kamu tidak mengetahi”

Surah al-Baqarah: 216

Bagaimana lagi kita hendak melaksanakan perentah Allah di atas jika di dalam diri belum terlatih sifat bersedia untuk berkorban harta dalam keadaan kesempitan, berkorban rasa rehat dan keselesaan untuk beramal ketika kita merasa berat, dan berperang dalam keadaan hati membencinya?

Para Jemaah yang dirahmati Allah.

Ibadah qurban yang bakal kita sempurnakan selepas solat eid adalah satu bentuk yang simbolik bahawa kita akan berikrar untuk berqurban demi meninggikan syariat Allah dan menjunjung perentah Allah dalam semua keadaan. Kerana itu ia merupakan sunat muaqaddah, sunat yang diberatkan. Bagi setengah mazahib ibadah qurban menjadi fardhu. Menurut Imam Abu Hanifah ibadah qurban difardhukan bagi mereka yang berkemampuan. Imam Malik turut sependapat dalam hal ini. Imam Syafii, Imam Ahmad dan Imam Abu Yusuf dari mazahib Hanafi berpendapat ia adalah sunat muaqqad (sunat yang dituntut dan diberatkan). Perbezaan pendapat ini tidak seharusnya menjadi isu. Apapun pegangan kita, namun jangan lupa ia adalah satu sunnah yang sangat diutamakan oleh Rasulullah SAW. Sebagaimana sabda Nabi,

“barangsiapa melakukan itu (ibadah qurban) maka ia berada di atas sunnahku”

Marilah mulai tahun ini dan seterusnya kita membuat resolusi untuk memberi galakan kepada seluruh ahli keluarga supaya melakukan ibadah qurban dan memberikan perhatian yang cukup besar kea rah perlaksanaannya dalam keluarga. Latihlah anak-anak supaya menabung dan dapat melaksanakan ibadah qurban pada masa akan datang. Jika anak-anak kita sanggup menitipkan wang sakunya untuk membeli sebuah handphone yang mahal atau computer games maka tidak ada sebab kenapa mereka tidak boleh menabung untuk amal yang sangat besar maknanya ini untuk memupuk sifat cintakan agama Allah.

Hari ini tuntutan untuk umat Islam berkorban sangat besar. Dalam dunia tanpa sempadan, berqurban adalah sumber kekuatan umat ini dalam menghadapi pelbagai mehnah dan ujian Allah. Umat Islam diperangi oleh kuasa-kuasa besar, rakyat Palestin di Gaza dikepung hampir tiga tahun lamanya. Tidak ada bekalan makanan yang dibenarkan masuk, begitu juga ubat-ubatan, air bersih dan bahanapi. Mereka diserang dengan penuh biadap oleh zionis Israel pada awal tahun ini dan saat ini mereka hanya tinggal dalam khemah dalam suasana musim sejuk yang menggigit tulang kerana tidak ada bahan binaan yang dibenarkan masuk untuk membaik pulih rumah-rumah mereka telah musnah dibom oleh Israel. Umat islam di merata tempat di Afrika, di Uighur, Cina, di Myanmar, si Mindanao, di Iraq dan Afghanistan menderita peperangan dan kekurangan makanan kerana dasar kuasa-kuasa besar dan regim yang tunduk kepada tekanan musuh-musuh Islam. Dunia Islam, pemimpin-pemimpinnya, forum-forum seperti OIC seakan-akan mandul untuk membela umat Islam yang tertindas. Palestin dikelilingi oleh jiran-jiran Negara Arab pengeluar minyak yang kaya-raya. Malangnya kekayaan ini tidak langsung member manfaat kepada umat Islam yang memerlukan. Semua ini menuntut umat Islam yang hidup di bumi Malaysia yang makmur ini supaya meningkatkan kesediaan untuk berqurban harta bagi membantu saudara-saudara kita seiman.

Akhir sekali ibadah qurban ini adalah persediaan untuk melakukan qurban yang paling tinggi darjatnya iaitu berkorban jiwa raga demi mempertahankan Islam.

Tercatat di dalam seerah selepas peperangan Uhud, pasukan Nabi yang menderita kekalahan di mana 70 orang mujahid syahid di medan, mereka telah ditahan oleh seorang wanita yang bertanya tentang berita pertempuran. Lalu disampaikan berita sedih bahawa wanita itu sudah kehilangan suami, ayah dan anaknya di Uhud. Reaksi wanita ini ialah ‘Bagaimana keadaan rasululah SAW? Bila diberitakan sahabat Rasulullah terselamat kecuali luka sedikit maka wanita ini berkata ‘Segala perkara adalah kecil asalkan Rasulullah terpelihara.’ Apakah kita juga sanggup untuk mengungkap perkataan ini ‘semua perkara adalah kecil asalkan Islam terus teguh dan dakwah terpelihara’

Allah SWT berfirman dalam surah as-saff.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬ (١٠) تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (١١)

‘Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu kuberitahu perniagaan yang menyelamatkan kamu dari azab yang pedih. Iaitu kamu beriman dengan Allah dan hari akhir dan kamu berjihad pada jalannya dengan harta-harta kamu dan jiwa raga kamu, itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui’

Surah as-Saff: 10 – 11

Allah SWT mendahulukan infaq atau qurban harta sebelum menyebut tentang qurban jiwa raga. Ia adalah satu isyarat jelas bahwa infaq atau korban harta adalah prasyarat untuk menyediakan diri memburu syahid pada jalan Allah, kemuncak ibadah qurban yang dianugerahkan Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih.

Prof Madya Hafidzi Mohd Nor

Pengarah PACE