Tugas Kita

May 18, 2009 by admin  
Filed under Minda Presiden

Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Pertamanya saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah subhanahu wata’ala atas nikmat kesihatan fizikal yang kita perolehi, dan nikmat keimanan rohani yang dilebarkanNya kepada kita, hamba-hambaNya yang terpilih atas hikmah yang hanya Dia yang mengetahuinya. Marilah kita sama-sama menghayati tugas yang diamanahkan kepada kita sepanjang keberadaan kita di Jepun khususnya, dan juga sepanjang kewujudan kita di dunia ini secara amnya.

Seperti yang dirakamkan Allah di dalam surah al-Baqarah (2:30)

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan Khalifah di bumi”"

kita memikul tugas sebagai pemimpin, yang berada di bawahnya satu dunia, sebagai amanah dari Rabbul ‘alamin. Tugas yang diletakkan ke atas bahu kita ini semestinya bukanlah sesuatu yang mudah, malah menuntut kerjasama, kebersamaan dan banyak komitmen untuk mencapai kepada matlamatnya. Semestinya juga, orang-orang, pekerja-pekerja atau lebih layak untuk saya sebutkan di sini sebagai rijal-rijal yang bersama untuk melaksanakan tugas besar ini adalah rijal-rijal yang mantap personalitinya, sihat tubuh badannya, bersih akidahnya, mapan akhlaqnya, kuat cita-citanya, dan secara amnya sangat mampu dan bersedia.

Seperti juga penciptaan manusia yang diceritakan Sang Pencipta Allah ‘azza wajalla sebagai berperingkat-peringkat, pembinaan peribadi rijal-rijal ini juga menuntut pemeringkatan. Ini kerana, dengan pemeringkatan ini sahajalah dapat memenuhi sunnatullah (hukum alam) pembinaan yang rapi dan mantap. Jesteru dapat merealisasikan tugas ini dalam sistem yang teratur dan berkesan. Sehinggalah kejayaan menegakkan hukum Allah di atas muka bumi ini terlaksana seperti yang kita cita-citakan.

Rakan-rakan yang saya kasihi, kita perlu menyedari di samping pembinaan yang kita lakukan, kita pada hari ini diancam dengan ancaman yang sangat dasyat. Ancaman yang kita hadapi pada hari ini tidak pernah lagi terlihat di mata kita dalam sejarah keberadaan kita (Islam) yang amat panjang (sila rujuk ISK). Jesteru menuntut kita untuk menyedari dan menyedarkan masyaratkat terhadap tugas kita mengikut keutamaan (sila rujuk IPK). Serta sangat menuntut kebersamaan kita dalam satu barisan yang utuh, dan kesetiaan yang berpanjangan kepada prinsip Islam (Sila rujuk modul-modul pendidik AMIR yang lain).

Dalam kesempatan ini saya selaku presiden AMIR ingin mengajak diri saya, dan rakan-rakan sekalian untuk bersama-sama bekerja menuju cita-cita kita yang satu. Semoga Allah memilih kita untuk menaiki keretapi kehidupan yang di hadapannya dikepalai Nabi s.a.w. dan diiringi para sahabatnya ridhuanullahi ‘alaihim serta para tabi’in dan para tabi’tabi’in serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan betul

“Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepada Allah. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang Agung”

(At Taubah:100).

Ya Allah, lindungilah kami dan keluarga kami seluruhnya. Amiin.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Amir Syahir bin Amir Hamzah

Presiden AMIR

  • Share/Bookmark

Comments

Comments are closed.