Perutusan Tahun Baru
January 14, 2010 by admin
Filed under Minda Presiden
Bismillahirahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Marilah kita sama-sama panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah subhanahuwata’ala atas nikmat kesihatan fizikal yang kitaperolehi, dan nikmat keimanan rohani yang dilebarkanNya kepada kita, hamba-hambaNya yang terpilih atas hikmah yang hanya Dia yang mengetahuinya.
Saudara-saudari, teman-teman, dan adik-adik sekalian,
Tahun 1430 Hijrah telah melabuhkan tirainya. Sedar atau tidak kita telah membuka lembaran baru dalam sejarah umat Islam secara umumnya dan kehidupan kita secara khususnya. Kita juga telah memasuki tahun baru 2010 yang telah disambut dengan hangatnya di Negara matahari terbit ini. Seharusnya kita bersyukur kerana masih diberi peluang masa dan kesempatan dalam usia hidup ini untuk bertaubat dan melakukan perubahan. Di saat ini, setiap individu pada kebiasaanya akan menyingkap kembali perjalanan setahun yang lalu, seterusnya mempersiapkan diri dengan perancangan untuk menempuh tahun yang baru. Mutu kerja akan cuba dipertingkatkan dan semangat belajar akan disemarakkan. Tetapi, berapa ramaikah diantara kita yang bertekad untuk memperbaiki akhlak, meningkatkan amal, atau menambahkan ilmu tentang deen ini?
Di sini saya ingin mengajak kita semua untuk sama-sama meluangkan masa dan muhasabah diri. Semoga dengan itu kita dapat menunaikan hakikat tuntutan hijrah itu sendiri. Sebagaimana yang kita maklum, hijrah Rasulullah saw dari Mekah ke Madinah merupakan batu petanda yang besar dalam sejarah kehidupan manusia. Setelah diuji dengan pelbagai kesulitan dan tentangan Allah menurunkan pertolongan kepada dakwah Rasulullah saw dan para sahabat. Dakwah yang mengajak manusia kepada Allah dengan hikmah dan nasihah agar mereka meninggalkan thaghut dan kegelapan jahiliyah menuju kepada cahaya Islam.
Islam pada hari in telah tercemar keindahannya, undang-undangnya dilumpuhkan, dan ajarannya disalahtafsirkan. Unsur-unsur jahiliyah di sekeliling kita memasuki diri secara tidak sedar, kesan daripada suasana dan keadaan masyarakat sekarang yang jauh daripada Islam yang sebenar. Lebihmembimbangkan, perkara yang mengsia-siakan disangka baik dan diterima oleh masyarakat. Mengubah diri dalam situasi sebegini bukanlah sesuatu yang mudah malah memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi.
Sepertimana Rasulullah saw dan para sahabatnya diuji oleh Allah swt, setiap hamba-hambaNya yang lain juga akan diuji imannya untuk melihat siapakah diantara kita yang terbaikamalannya. Apakah kita mahu jadi seperti golongan yang disebut dalam al-Quran;
Tiadalah mereka menunggu-nunggu kecuali (terlaksananya kebenaran) Al Quran itu. Pada hari datangnya kebenaran pemberitaan Al Quran itu, berkatalah orang-orang yang melupakannya sebelum itu:”Sesungguhnya telah datang rasul-rasul Tuhan kami membawa yang hak, maka adakah bagi kami pemberi syafa’at yang akan memberi syafa’at bagi kami, atau dapatkah kami dikembalikan (ke dunia) sehingga kami dapat beramal yang lain dari yang pernah kami amalkan?.” Sungguh mereka telah merugikan diri mereka sendiri dan telah lenyaplah dari mereka tuhan-tuhan yang mereka ada-adakan. (QS, al-A`raf, ayat 53)
Sesungguhnya Allah lebih suka kepada amalan baik yang dilakukan secara berterusan. Walaupun ianya sekecil zarah tetapi usaha yang diniatkan ikhlas kerana Allah akan diganjari olehNya dengan pahala insyaAllah. Oleh itu saya menyeru diri saya, saudara-saudari, teman-teman, dan adik-adik semua supaya memengorak langkah pertama ke arah perubahan diri seterusnya berhijrah sikit demi sedikit, agar kita memperolehi redha Allah di akhirat kelak insyaAllah.
Selamat berhijrah di tahunbaru!
Wassalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh
Amir Syahir bin Amir Hamzah
Presiden AMIR


.png)


Comments
Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!