Eh, dah nak balik
February 6, 2010 by adminah
Filed under Artikel Pilihan
Bismillahirrahmanirahim..
“Eh dah petang?”
“Eh dah malam?”
Biasa kita meluahkan kata-kata sebegini kan… atau mendengarnya daripada orang-orang tua. Mengapa semakin hari semakin laju masa itu bergerak?
Seperti mana kita, masa itu juga adalah makhluk Allah… ia hidup seperti kita hidup dan akan tiada bila tiba waktunya nanti. Tanpa masa, tiadalah kita, kerana kita hidup di dunia ini dengan masa. Jika masa hilang, lenyaplah kita di dunia, kerana ia sudah menjadi infiniti, kehidupan akhirat yang abadi.
Masa dan kehidupan
Antara sifat masa adalah ia cepat berlalu. Cuba kita ingat sewaktu kecil dahulu, kita sendiri makan bersuap, bermain getah dengan kawan-kawan, tapi kini bila dihitung kembali ‘ah sudah 23tahun rupanya’. Atau ingatkah saat kita di pusat persediaan, penatnya menghafal kanji, pagi ke sekolah, malam mengulangkaji untuk test, tapi kini ‘dah 4tahun rupanya, dah nak balik pun’. Kita sendiri taajub dengan angka tersebut.
Selain itu, masa tidak boleh diganti kembali. Ia bergerak secara linear. Kalau hari ini kita termuntah, esok muntah itu takkan masuk balik ke dalam mulut. Kalau hari ini kita mengata orang, esok-esok kita tak boleh tarik balik kata-kata kita. Kerana itu, masa adalah modal yang sangat berharga buat mu’minin.
Kehidupan dunia ini satu ujian, sedang kehidupan akhirat adalah anugerah. Akhirat adalah sotsugyoushiki kita… samada goukaku ke tidak. Kalau daigaku di dunia, jika kita tidak lulus, kita masih boleh saishi atau ryuunen. Tapi di akhirat…. masa telah tiada, yang ada adalah pembalasan.
Kehidupan di dunia ini hanyalah sejak lahir sehinggalah mati. Kalau semasa kita hidup ini kita tidak ingat tentang akhirat, bererti kita hidup dengan bermain-main dan bersenda-gurau. Kita tidak menyediakan bekal untuk pulang ke kampung akhirat kita.
إِنَّمَا الحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَإِن تُؤْمِنُوا وَتَتَّقُوا يُؤْتِكُمْ أُجُورَكُمْ وَلَا يَسْأَلْكُمْ أَمْوَالَكُمْ
“Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Dan jika kamu beriman dan bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta harta-hartamu.” [QS 47:36]
Sedang ketika di dunia lagi sudah ada banyak perkara yang kita sesali, janganlah kita menjadi orang yang menyesal di akhirat nanti. Janganlah merugikan diri sendiri dengan menjadi orang yang tidak memahami erti masa dan kehidupan atau buat-buat tak faham mengenainya.
كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَهَا لَمْ يَلْبَثُوا إِلَّا عَشِيَّةً أَوْ ضُحَاهَا
“Pada hari mereka melihat hari kebangkitan itu, mereka merasa seakan-akan tidak tinggal di dunia melainkan sebentar saja di waktu petang atau pagi hari” [QS 79:46]
Pepatah ada mengatakan time is money, time is gold.
Ia adalah pemikiran materialistik…. yang hanya terbatas pada harta, harta itu sendiri boleh jadi tidak akan bernilai suatu hari nanti dan akan hilang. Emas boleh dicari tetapi kehidupan di dunia… tidak boleh diulang. Kerana itu, persepsi seorang muslim terhadap masa adalah berlainan. Masa lebih bernilai daripada duit dan harta.
“Alwaqtu kassaif, fain lam taqtau’, qotoa’ka!” yang bermaksud, masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu. Orang yang mengerti tentang masa akan lebih menghargai masa. Dia akan mengisi dengan perkara yang berfaedah. Dia akan menyediakan kehidupan yang lebih bererti, bersungguh-sungguh mengumpul pahala buat bekalan untuk kehidupan abadi nun di sana.
Kerana itu, Imam Syafii pernah mengatakan,“Jika sekiranya Al-Quran itu terdiri daripada satu surah saja, maka surah Al-’Asr sudah cukup untuk menjadi pedoman kehidupan manusia.”
“Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih dan saling memberi nasihat dengan kebenaran dan saling memberi nasihat dengan kesabaran.” [Surah Al-’Asr : 1-3]
Jangan gunakan masa hanya untuk diri kita sahaja, kerana hidup kita amat singkat, bermula dari wujud kita hingga umur kita yang terbatas, tetapi gunakanlah masa untuk ummah, serulah mereka kepada Allah, kerana pahalanya bermula dari wujudnya manusia sehingga luputnya manusia di bumi ini.


.png)


Comments
Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!