BBQ 2010

April 13, 2010 by admin  
Filed under Berita

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan salam buat junjungan Rasulullah s.a.w dan ahlul bait serta para sahabat dan penolong-penolong agama Allah.

Pada 11 April 2010 bersamaan dengan hari Ahad, pihak Aspiring Malaysian Rijjal (AMIR) telah menganjurkan barbeque yang bertempat di Umi No Kouen di Yokohama. Program kali ini telah disertai oleh kira-kira 30 peserta yang dating daripada kawasan yang berbeza-beza juga dari university yang berbeza antaranya adalah dari Keio Universiti, Meiji Universiti, Denki Tsusin Universiti dan dari banyak lagi universiti lainnya.

Walaupun menempuh perjalanan yang rata-ratanya sejauh 1 jam 30 minit, tetapi ianya ternyata tidak melemahkan semangat mereka yang hadir demi untuk berjumpa semula dengan rakan-rakan lama yang sudah lama tidak berjumpa juga untuk menambah kenalan baru. Perjalanan mereka yang jauh ini tidak sia-sia kerana, bukan sahaja ikatan silaturahim itu bertambah kuat kerana dapat bertemu dengan rakan-rakan lama dan dapat mengenal rakan-rakan sesama Islam lainnya, tidak dilupakan juga menu yang enak seperti ayam panggang, ikan panggang, juga udang yang menjadi santapan di petang yang dingin.

Tanpa di arah, peserta memanggang sendiri ikan dan ayam agar ianya dapat dikongsikan dengan rakan-rakan lainnya. Apabila masuk waktu untuk solat, peserta mengambil wuduk dan mulai bersolat di taman itu dan kadangkala diperhatikan oleh mereka yang lalu lalang. Tetapi itu tidak melemahkan semangat peserta untuk menunaikan tanggungjawab mereka kepada Allah yang telah menciptakan mereka.

Setelah selesai sesi bergambar, peserta mengambil gambar. Ternyata, keindahan laut yang membiru ciptaan yang maha pencipta menjadi pilihan untuk mengambil gambar. Gambar-gambar yang diambil dan laut yang membiru yang menjadi gambar latar akan terus terpahat dalam memori kami yang hadir sebagaimana ukhwah yang terjalin pada hari itu kekal sehingga ke akhir hayat.

Perutusan Tahun Baru

January 14, 2010 by admin  
Filed under Minda Presiden

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Marilah kita sama-sama panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah subhanahuwata’ala atas nikmat kesihatan fizikal yang kitaperolehi, dan nikmat keimanan rohani yang dilebarkanNya kepada kita, hamba-hambaNya yang terpilih atas hikmah yang hanya Dia yang mengetahuinya.

Saudara-saudari, teman-teman, dan adik-adik sekalian,

Tahun 1430 Hijrah telah melabuhkan tirainya. Sedar atau tidak kita telah membuka lembaran baru dalam sejarah umat Islam secara umumnya dan kehidupan kita secara khususnya. Kita juga telah memasuki tahun baru 2010 yang telah disambut dengan hangatnya di Negara matahari terbit ini. Seharusnya kita bersyukur kerana masih diberi peluang masa dan kesempatan dalam usia hidup ini untuk bertaubat dan melakukan perubahan. Di saat ini, setiap individu pada kebiasaanya akan menyingkap kembali perjalanan setahun yang lalu, seterusnya mempersiapkan diri dengan perancangan untuk menempuh tahun yang baru. Mutu kerja akan cuba dipertingkatkan dan semangat belajar akan disemarakkan. Tetapi, berapa ramaikah diantara kita yang bertekad untuk memperbaiki akhlak, meningkatkan amal, atau menambahkan ilmu tentang deen ini?

Di sini saya ingin mengajak kita semua untuk sama-sama meluangkan masa dan muhasabah diri. Semoga dengan itu kita dapat menunaikan hakikat tuntutan hijrah itu sendiri. Sebagaimana yang kita maklum, hijrah Rasulullah saw dari Mekah ke Madinah merupakan batu petanda yang besar dalam sejarah kehidupan manusia. Setelah diuji dengan pelbagai kesulitan dan tentangan Allah menurunkan pertolongan kepada dakwah Rasulullah saw dan para sahabat. Dakwah yang mengajak manusia kepada Allah dengan hikmah dan nasihah agar mereka meninggalkan thaghut dan kegelapan jahiliyah menuju kepada cahaya Islam.

Islam pada hari in telah tercemar keindahannya, undang-undangnya dilumpuhkan, dan ajarannya disalahtafsirkan. Unsur-unsur jahiliyah di sekeliling kita memasuki diri secara tidak sedar, kesan daripada suasana dan keadaan masyarakat sekarang yang jauh daripada Islam yang sebenar. Lebihmembimbangkan, perkara yang mengsia-siakan disangka baik dan diterima oleh masyarakat. Mengubah diri dalam situasi sebegini bukanlah sesuatu yang mudah malah memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi.

Sepertimana Rasulullah saw dan para sahabatnya diuji oleh Allah swt, setiap hamba-hambaNya yang lain juga akan diuji imannya untuk melihat siapakah diantara kita yang terbaikamalannya. Apakah kita mahu jadi seperti golongan yang disebut dalam al-Quran;

Tiadalah mereka menunggu-nunggu kecuali (terlaksananya kebenaran) Al Quran itu. Pada hari datangnya kebenaran pemberitaan Al Quran itu, berkatalah orang-orang yang melupakannya sebelum itu:”Sesungguhnya telah datang rasul-rasul Tuhan kami membawa yang hak, maka adakah bagi kami pemberi syafa’at yang akan memberi syafa’at bagi kami, atau dapatkah kami dikembalikan (ke dunia) sehingga kami dapat beramal yang lain dari yang pernah kami amalkan?.” Sungguh mereka telah merugikan diri mereka sendiri dan telah lenyaplah dari mereka tuhan-tuhan yang mereka ada-adakan. (QS, al-A`raf, ayat 53)

Sesungguhnya Allah lebih suka kepada amalan baik yang dilakukan secara berterusan. Walaupun ianya sekecil zarah tetapi usaha yang diniatkan ikhlas kerana Allah akan diganjari olehNya dengan pahala insyaAllah. Oleh itu saya menyeru diri saya, saudara-saudari, teman-teman, dan adik-adik semua supaya memengorak langkah pertama ke arah perubahan diri seterusnya berhijrah sikit demi sedikit, agar kita memperolehi redha Allah di akhirat kelak insyaAllah.

Selamat berhijrah di tahunbaru!

Wassalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh

Amir Syahir bin Amir Hamzah

Presiden AMIR