Fuyu Gathering 2009

January 21, 2010 by adminah  
Filed under Berita

Bismillahirrahmanirrahim….

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan salam buat junjungan Rasulullah s.a.w dan ahlul bait serta para sahabat dan penolong-penolong agama Allah.

Alhamdulillah, syukur setinggi-tingginya kepada Yang Maha Penyayang kerana dengan limpahan rahmat yang dikurniakanNya, dapat jua kami melangsungkan Fuyu Gathering 2009 pada 26hb hingga 28hb Disember 2009 bertempat di Hakubamura, Nagano. Program selama 3 hari ini telah mengumpulkan 70 orang peserta, bilangan yang paling ramai dalam sejarah AMIR bagi akhawat. Sekali lagi kami memanjatkan kesyukuran yang tidak terkira kepada Allah Maha Kuasa yang telah menggerakkan hati para peserta untuk menyertai program ini. Subhanallah walhamdulillah.

Para peserta dihidangkan dengan satu tajuk yang sangat menyentuh hati dan mengejutkan jiwa-jiwa yang leka di bumi sakura. Ia merupakan penceritaan sebuah hadith yang berkisar tentang seorang budak yang tersepit di antara rahib dan ahli sihir. Kisah ini sangat mirip dengan keadaan kita sekarang sebagai seorang pelajar. Melalui hadith ini, para peserta dapat menilai dan memotivasikan diri untuk mencapai matlamat. Matlamat merupakan kayu ukur kepada setiap pekerjaan kita sehari-hari. Tanpa matlamat yang jelas, hidup akan terumbang-ambing bagaikan menyelusuri satu jalan yang samar-samar yang destinasi akhirnya sangat kelam untuk dilihat.

Salah satu aktiviti menarik yang dilakukan semasa program ini adalah “Cafeoretachi Live!” yang menghidangkan teh dan kopi panas serta biskut-biskut kepada para peserta. Ia dilakukan dalam keadaan santai dan pada masa yang sama berbincang. Alhamdulillah, setelah cafeoretachi live, para peserta kelihatan bersemangat dalam melontarkan pandangan masing-masing. Pemahaman peserta diperkemaskan lagi dengan aktiviti “Snomon” pada sebelah petang.

Pada hari terakhir, sebahagian peserta bermain snowboard manakala sebahagian lagi tinggal di hotel melihat tayangan movie secara percuma. Pada pukul 3.30 petang, peserta berangkat pulang ke Tokyo dengan bas dan ke tempat masing-masing dengan kereta api.

Semoga program ini mendapat keberkahan dan redha Allah SWT. Amin..

Snowboard AMIR 2009

January 6, 2010 by admin  
Filed under Berita

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengetahui.

Segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w utusan Allah yang diutuskan untuk membimbing manusia ke jalan yang benar, jalan menuju keredhaan Allah s.w.t.

Alhamdulillah pada 24-26 Disember 2009, program Snowboard 2009 yang bertempat di Iwatake Hakuba, Nagano telah berjalan dengan lancarnya. Peserta seramai 27 orang, terdiri daripada 2 kumpulan yang bertolak pada waktu yang berlainan. Kumpulan pertama terdiri daripada 12 orang, bertolak dari Shinjuku pada malam 23 Disember. Kumpulan kedua terdiri daripada 17 orang bertolak dari Shinjuku dan Nanba(Kansai). Selain daripada pelajar JAD, pelajar dari Iwate University seramai 3 orang turut hadir untuk menjadi jurulatih.

Selain memantapkan fizikal, hubungan silaturrahim antara peserta turut terjalin, terutamanya antara pelajar Iwate dan JAD. Bagi pencapaian peserta dalam snowboard, boleh dikatakan para peserta sangat cepat belajar menguasai sukan ini. Boleh dikatakan semua asas snowboard, contohnya falling-leaf, garlands, slideslipping, traversing, Linking-Turns(s-movement) telah dikuasai dengan baiknya. Pencapaian ini adalah disebabkan usaha yang bersungguh dari para peserta, jurulatih yang baik serta daya saing yang sihat antara peserta.

Kejayaan diiringi dengan usaha yang kuat. Dalam usaha yang kuat itu, jatuh semasa bermain snowboard adalah perkara yang biasa. Bangun pagi pada keesokan harinya dengan sakit-sakit badan,juga antara salah satu kenangan yang tak mungkin dilupakan oleh para peserta. Alhamdulliah kerana tiada kecederaan berat yang dialami oleh para peserta.Bagi peserta lelaki, aktiviti lasak seperti ini merapatkan hubungan silaturrahim berbanding daripada aktiviti lain, sesuai dengan fitrah mereka.

Antara perkara yang boleh diperbaiki dalam program ini ialah promosi program serta masa pendaftaran. Jika masa pendaftaran boleh dipanjangkan, lebih banyak peserta akan menyertai program ini. Promosi program haruslah lebih lengkap, untuk membuatkan peserta jelas dengan program yang akan mereka sertai.

Antara perkara yang menarik sepanjang perjalanan program ialah ketepatan masa para peserta. Para peserta bergerak tepat malah lebih awal daripada jadual yang ditetapkan. Ini mungkin kerana kegigihan serta semangat para peserta yang berkobar-kobar. Memang sukan snowboard sesuai dengan jiwa para peserta lelaki yang  ingin mencabar, dan suka mencuba. Walaupun badan sakit, tetapi pengalaman yang dialami oleh para peserta tak mungkin dapat dilupakan. Mudah-mudahan program seperti mendapat keberkatanNya. Semoga berjumpa lagi di program akan datang, insyaAllah.

Sekian.