Semarak Ramadhan 2009

September 4, 2009 by adminah  
Filed under Berita

Assalamualaikum..

Alhamdulillah Ramadhan bertandang lagi..

Pada 8 Ramadhan 1430 Hijrah bersamaan 29 Ogos 2009 yang lalu, AMIR telah menganjurkan program Semarak Ramadhan bertempat di .Masjid Asakusa, Tokyo. Program yang telah dihadiri seramai 27 orang jyosei dan 30 orang dansei yang kebanyakannya dari kalangan pelajar hadir, memeriahkan majlis.

Majlis dimulai dengan peserta berkumpul di masjid seawal 6 petang dan kemuadiannya, majlis berbuka, dengan juadah ringan iaitu, kurma, air sirap biji selasih, kuih-muih tempatan seperti keria, kek kukus, agar-agar dan juga pisang menjadi santapan kami tatkala itu.

Usai sahaja solat maghrib, sedikit perubahan tentative dilakukan di mana slot pengisian didahulukan terlebih dahulu. Pengisian berkisar mengenai Puasa dan Taqwa sebagaimana firman-Nya dalam ayat 183, surah Al-Baqarah,

‘Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke ataskamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.’ [Al-Baqarah, 2 : 183]

Selain itu, perkongsian mengenai kepentingan tarbiyah sebagai penduduk di negara tanpa pegangan aqidah seperti Jepun ini diteruskan. Alhamdulillah, meski pengisian yang kadang timbul tenggelam antara speaker yang kurang jelas dan suara hadirin masjid tatkala itu, namun, telinga masih dapat menangkap sedikit sebanyak hikmat ilmu yang disampaikan.

Berkat kesabaran menunggu juadah berat sampai, Alhamdulillah, Juadah makan malam akhirnya tiba, iaitu roti nan dan kari daging kambing. Untuk pengetahuan, roti nan dan kari adalah menu utama dalam kalangan orang Pakistan yang telah menaja makan malam kami pada program itu.

Selepas solat tarawikh, sebelum bersurai, sedikit tazkirah atau peringatan menyentuh hati-hati kami yang hadir pada malam itu. Meskipun perkongsian itu, hanyalah sebentar cuma, tapi, ibrah atau pengajaran yang dapat diambil dirasakan begitu besar sekali, berkenaan tanggungjawab kita sebagai hamba, dan sebagai khalifah di muka bumi.

Ramadan Mubarak

August 11, 2009 by admin  
Filed under Minda Presiden

Dari Amirul mu’minin Abu Hafs yaitu Umar bin Al-khaththab berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya setiap amal perbuatan itu dengan disertai niat-niatnya dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa-apa yang telah diniatkannya. Maka sesiapa yang hijrahnya itu (diniatkan) kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan sesiapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang hendak diperolehinya, ataupun untuk seorang wanita yang hendak dikawininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa-apa yang diniatkan ketika hijrahnya itu.”

Bukhari dan Muslim[1]

Saudara-saudara, teman-teman, dan adik-adik seperjuangan sekalian,

Ingatlah, sekali lagi purnama syaaban telah menguncup. Tanda akan tibanya bulan Ramadhan. Bulan yang dinanti, bulan yang istimewa. Setiap dari manusia muslim itu, terasa pada Ramadhan itu satu kelainan, tidak kira muslim yang baik mahupun tidak, pasti ada. Itu tanda Sang Pencipta ingin menyampaikan sesuatu pada hamba-Nya, ingin mengajarkan sesuatu, ingin memberitahukan sesuatu. Dan setiap kali Sang Pencipta yang maha Perkasa, maha Mulia itu ingin berhubungan dengan hambanya, itu tanda satu rahmat dan penghargaan yang tidak terhingga, bagi setiap dari kita, hamba-hamba-Nya yang sangat-sangat hina, kerdil dan fakir.

Bagi kita para pelajar di jalan Islam ini, yang sudah penat dan kehabisan bekal saban tahun, inilah masanya untuk mengambil semula bekal, menjahit semula layar buat meneruskan pelayaran. Mengisi semula pelita jiwa yang makin kehabisan minyaknya, buat membakar lagi menerangi jiwa manusia lain.

Tidak seharusnya ia sekadar stesen untuk cuma merefresh diri saban tahun. Sememangnya ia bulan yang menyegar dan menyedarkan. Namun, ia juga bulan peng-up-grade-an diri. Bulan hijrah! Hijrah dari kegelapan maksiat kepada cahaya iman. Daripada iman yang membeku dalam jiwa dan pengasingan agama dari kehidupan (sekular) kepada pencairan dan mensebatikan sedikit demi sedikit dalam hati dan perasaan kita. Daripada kealpaan kepada ingat dan takut kepada Allah dan hari akhirat dalam setiap amalan harian kita. Kerana jika, engkau sebelum Ramadhan, ketika itu engkau leka. Apabila tibanya Ramadhan, engkau kembali beringat. Dan habisnya Ramadhan engkau kembali leka pula. Dan berulanglah pusingan itu saban tahun, hingga kau menemui Ramadhan terakhirmu, atau keluar dari Ramadhan terakhirmu. Maka Ramadhan akan hanya menjadi bulan buat berhenti beramal seketika, tanpa meninggalkan api-api yang menyala, mahupun bekas-bekas baranya. Keluarnya orang beriman dari Ramadhan itu, menjadi muttaqin!2 Itulah kejayaan di akhir Ramadhan kelak.

Lalu pasanglah niat dengan teguh! Sekurang-kurangnya kita membuat persediaan mental dan psikologi buat menghadapi ujian, mudah-mudahan menjadi orang-orang bertaqwa.

Selamat menempuh Ramadhan.

Ya Allah, pimpinlah tangan-tangan kami menuju kasihMu, peliharalah kami dan keluarga kami. Engkau maha penyayang, Engkaulah pemelihara kami.


Rujukan

1. Hadith 1 dalam kumpulan Hadith 40, Imam Nawawi
2. Al-Baqarah ayat 183