Onna Futsal Taikai di Saitama

June 22, 2009 by adminah  
Filed under Berita

Saitama, Sabtu 20hb Jun – Satu perlawanan futsal aka Futsal Taikai khusus untuk akhowat kawasan Kantou anjuran AMIR (Aspiring Malaysian Rijal) telah diadakan dengan jayanya di Fvillage Yoshimi,Saitama. Bertemakan 「ボールと美」, perlawanan ini telah disertai seramai lebih kurang 40 orang peserta samada sebagai pemain atau pun penyokong. 6 kumpulan telah dihantar di mana setiap kumpulan mempunyai 5-7 orang pemain.

Tujuan utama diadakan futsal taikai ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan antara sahabat-sahabat dan juga berkenalan dengan kawan-kawan baru. Di samping itu, persatuan AMIR mengadakan aktiviti seumpama ini sebagai inisiatif meningkatkan kecergasan fizikal yang diperlukan sebagai seorang muslim.

Berikut ialah senarai kumpulan yang telah mengambil bahagian:
Chiba Hebat
Comot Comel
Umar Macho
Saitama Kental
Team_Bunk_Bola
Bukan Team Biasa

Memandangkan ramai peserta tidak mengenali antara satu sama lain kerana datang dari pelbagai daerah dan latar belakang penaja, di samping seorang pelajar pertukaran dari Thai yang juga turut hadir, maka taikai ini dimulai dengan sesi perkenalan ringkas daripada setiap peserta. Kemudian, perlawanan diteruskan dengan kumpulan Umar Macho menentang Bukan Team Biasa, dan kumpulan Comot Comel menentang Saitama Kental.

Markah dikira berdasarkan pungutan mata; menang-3 mata, kalah-0 mata, seri-1 mata. Bagi peringkat semi-final dan final, sepakan penalti akan dibuat apabila keputusan seri. Untuk taikai kali ini, memandangkan ramai yang tidak pernah atau jarang bermain futsal, peraturan yang ditetapkan adalah tidak terlalu ketat.

Perlawanan berhenti rehat sebentar sekitar jam 12 tengahari untuk makan tengahari dan solat berjemaah. Perlawanan disambung semula pada pukul 1.15 petang untuk peringkat semi-final antara kumpulan Umar Macho vs Saitama Kental, dan kumpulan Comot Comel vs Team_Bunk_Bola. Peringkat final pula menyaksikan kumpulan Umar Macho menentang Comot Comel yang berakhir dengan keputusan seri 2-2. Untuk menentukan pemenang, sepakan penalti telah dibuat dan akhirnya kumpulan Umar Macho mendapat tempat pertama.

Berikut ialah senarai akhir keputusan:
Tempat Pertama-Umar Macho
Tempat Kedua-Comot Comel
Tempat Ketiga-Saitama Kental
Tempat Keempat-Team_Bunk_Bola
Saguhati-Chiba Hebat
Saguhati-Bukan Team Biasa

Setiap kumpulan menerima hadiah dan sijil dari pihak AMIR berserta badge 「Onna Futsal Taikai」 sebagai tanda menghargai penat lelah mereka dan sokongan yang diberikan untuk menjayakan aktiviti seumpama ini.

Diharap dengan adanya taikai sebegini, dapat mengeratkan lagi hubungan kita sesama pelajar muslim dari Malaysia. Memandangkan perlawanan ini merupakan taikai pertama yang dikelola AMIR untuk akhowat, diharap pelbagai kekurangan dapat diperbaiki lagi untuk sesi hadapan. Semoga pada sesi hadapan juga, lebih ramai peserta yang akan mengambil bahagian inshaAllah.