Tentang Kami – Aspiring Malaysian Rijal

Tentang Kami

Assalamu’alaikum wbt…

Menemui para pembaca, semoga berada dalam Rahmat Ilahi. Blog ini adalah pembaharuan bagi blog Ini Cerita Kita yang bertujuan memberikan nafas baru pada dakwah dan tarbiyyah di Jepun.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, mengapa nama Shiroi Koibito dipilih. Di sini, diterangkan serba sedikit tentang Shiroi Koibito.

Sebenarnya, ‘Shiroi Koibito’ adalah nama bagi sejenis biskut yang popular di bahagian utara Jepun ini, iaitu Hokkaido.

Ia hanya dihasilkan di Hokkaido sahaja. Ekslusif bukan?

Meminjam nama biskut tersebut, kami menampilkan ‘Shiroi Koibito’ dalam versi dakwah dan tarbiyyah.

 

Membawa maksud ‘Kekasih Putih’

Apabila diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, ‘Shiroi’ bermaksud ‘Putih’ , manakala ‘Koibito’ bermaksud ‘Kekasih’ .

Maka, apabila dua patah perkataan hebat ini digabungkan, ‘Shiroi Koibito’ membawa maksud ‘Kekasih Putih’.

Indah bukan?

(‘;

‘Putih melambangkan sesuatu yang suci lagi tak bernoda. Di Jepun ini, tanyalah sesiapa sahaja,  apabila disebut ‘putih’, maka secara automatik nya kita akan terbayangkan salji yang turun memutihkan bumi pada musim sejuk. Sebagaimana kita rasa gembira, teruja dan tenang apabila melihat salji yang turun memutih, juga seakan merindui salji untuk turun, sebegitulah juga impian terhadap blog akhwat ini yang diharapkan dapat membuatkan para pembaca rasa gembira, teruja dan tenang apabila melayari blog ini, juga berasa rindu apabila lama tak membaca blog ini.

‘Kekasih’ pula melambangkan suatu ‘figura’ yang akan membuatkan kita berasa kasih dan sayang serta cinta kepada nya. Segala apa yang diucapkan kekasih akan kita akui tanpa banyak soal, malah kita akan ternanti-nanti setiap bait kata si kekasih. Kita akan merindui kekasih kita, menganggap kekasih kita itulah yang akan membahagiakan hidup kita, apabila kita sudah ‘jatuh hati’ dan bercinta dengannya. Seperti itulah yang diharapkan agar para pembaca akan sentiasa menanti-nanti post baru, malah turut mengakui ‘kata-kata cinta’ yang ada di blog. Lebih mengujakan apabila apa yang dipost di blog, menjadi buah mulut dan disebar-sebarkan ke serata ceruk dunia, hanya kerana para pembaca sudah ‘jatuh cinta’ dan merindui blog akhwat ini.

‘Kekasih Putih‘ pula jelas membayangkan suatu ‘figura suci’ yang dapat membahagiakan jiwa si pencinta. Fitrah manusia biasa, akan menjadi seolah ‘tersihir’ apabila terkena panahan cinta. Mereka yang bercinta kerana Allah, akan mengakui yang ‘cinta’ itu adalah sesuatu yang akan suci lagi menyucikan, kuat lagi menguatkan, cantik lagi mencantikkan, tinggi malah meninggikan, malah mampu mengubah seseorang menjadi luar biasa, insyaAllah…

Sebegitulah besarnya harapan dan impian kami agar blog ‘Shiroi Koibito’ ini dapat menjadi kekasih kepada setiap manusia di luar sana yang menanti-nantikan ketenangan dan pencerahan dalam perjalanan mencari Tuhan.

Wallahu’alam.

One Comment

  • mayamyra

    teruskan berdakwah walau di mana pun antum berada..law kana bainana? baginda pasti gembira dengan perjuangan antum semua. suka shiroi kaibito..:)

Comments are closed.