Laporan Program Solat Hajat Perdana kawasan Kansai 2012 – Aspiring Malaysian Rijal

Laporan Program Solat Hajat Perdana kawasan Kansai 2012

Pada jam 7.30 malam para peserta menunaikan solat maghrib secara berjemaah yang diimamkan oleh saudara Ubaidah @ Afiq bin Md. Idros, wakil AMIR kawasan Kansai. Beliau juga telah mengimamkan solat sunat hajat yang juga dilakukan secara berjemaah sejurus selepas solat maghrib. Seusai solat sunat hajat, para hadirin dihidangkan dengan tazkirah pendek yang disampaikan oleh saudara Akmal. Bertepatan dengan objektif program solat hajat kali ini, beliau mengingatkan para hadirin mengenai konsep tawakal kepada Allah SWT seperti dalam firman-Nya dalam surah at-Talaq ayat 2-3.

“…Barang siapa yang bertawakal kepada Allah tentu diadakanNya jalan keluar baginya, dan memberinya rezeki dari pintu yang tidak diduga-duga olehnya. Barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Tuhan akan mencukupkan (keperluan) nya. Bahkan sesungguhNya Allah pelaksana semua peraturanNya. Dan Allah juga telah menjadikan segala-galanya serba berukuran.”

(At-Talaq:2-3)

Saudara Akmal juga berpesan kepada semua yang mendengar supaya tidak hanya mengingati Allah SWT hanya pada masa-masa tertentu sahaja, bahkan mengingati Allah pada keseluruhan hidup manusia itu sendiri. Beliau juga membacakan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 208 dan berkali-kali menegaskan tentang kewajipan untuk masuk ke dalam Islam secara keseluruhan, dengan erti kata lain, berserah diri kepada Allah SWT sepanjang kehidupan kita dengan melakukan segala arahan-Nya serta meninggalkan larangan-Nya secara total. Bahkan jika kita, orang-orang yang beriman tidak berbuat demikian, maka kita mungkin sedang mengikuti jejak langkah syaitan dan sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kita.

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu.”

(al-Baqarah; 208)

Program kemudiannya diisi dengan tadarus al-Quran secara berkumpulan yang dipimpin oleh beberapa ahli AMIR. Surah al-Hadid telah dipilih sebagai bacaan tadarus pada malam itu. Tadarus pada malam itu dimulakan dengan sesi taaruf ringkas dan disertai bacaan terjemahan selepas bacaan surah tersebut. Selepas tamat tadarus sekitar jam 9.00 malam, para hadirin melakukan solat Isya’ secara berjemaah berimamkan saudara Omar bin Hamidun. Sebagai penutup program, hadirin-hadirat semua telah dihidangkan dengan sedikit jamuan ringan. Dalam program kali ini juga, tabung kutipan derma Syria juga diadakan bagi mengutip sumbangan daripada para peserta. Jumlah kutipan yang berjaya dikutip adalah sebanyak 75,973 yen dan RM21.10. Peserta bekerjasama membersihkan tempat program dan beransur pulang sekitar jam 10.30 malam.

AMIR sungguh berbesar hati berpeluang bekerjasama dengan pihak MSAJ Kansai dalam menjayakan program ini. Syabas kami ucapkan kepada pihak MSAJ Kansai yang telah menguruskan perjalanan majlis ini dengan sungguh baik sekali. Besarlah harapan kami, agar kerjasama seumpama ini antara MSAJ Kansai dan AMIR dapat diteruskan lagi, dalam usaha kita bersama memartabatkan Islam di bumi Jepun ini.

Sekian.

Laporan disediakan oleh,

Muhammad Izzat bin Samsudin

Tahun 4, Ritsumeikan University

Leave a Reply