Perutusan Presiden AMIR sempena Aidiladha 2014/1435H – Aspiring Malaysian Rijal

Perutusan Presiden AMIR sempena Aidiladha 2014/1435H

wsehcbefhc copy-2 (1)

Assalamualaikum w.b.t,
Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. Walillahilhamd.

Alhamdulillah, Allah s.w.t masih mempertemukan kita dengan Aidiladha kali ini. Mungkin saja ini Aidiladha terakhir kita. Bagi yang diberi kesempatan berpuasa pada 9 Zulhijjah, semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita semua.

Hari Raya Aidiladha merupakan hari yang amat bermakna buat seluruh umat Islam, baik yang sedang menunaikan rukun Islam kelima atau yang belum berkesempatan menunaikannya.

Saya ingin mengajak anda untuk kita sama-sama menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang tercatat dalam surah As-Saaffaat ayat 100 hingga110. Sesungguhnya Hari Raya Aidiladha begitu sinonim dengan nilai pengorbanan. kita sering diingatkan dengan peristiwa pengorbanan Nabi Allah Ibrahim, kesabaran anaknya Nabi Ismail dan keredhaan isterinya Siti Hajar, demi mentaati perintah Allah s.w.t. Nabi Ibrahim telah menerima perintah Allah untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail, di dalam mimpinya. Dalam suasana taat kepada Allah s.w.t, Nabi Ibrahim rela menyembelih anaknya dan anaknya, Nabi Ismail, pun rela untuk disembelih.

Tentu saja pengorbanan ini memerlukan cinta yang tulus ikhlas kepada Allah s.wt. Nabi Ismail adalah qudwah kepada pemuda muslim; menumbuhkan tunas-tunas iman, menyuburkan ketaatan kepada Allah s.w.t dan menjauhi maksiat. Kisah ini juga menyaksikan pengorbanan sebuah keluarga yang cukup hebat. Nabi Ibrahim meninggalkan Siti Hajar dan anaknya di lembah gersang tidak berpenghuni kerana ubudiyah kepada Allah. Begitu juga kesanggupannya yang luar biasa ketika nekad untuk menyembelih anaknya hanya semata-mata pengabdian kepada Allah s.w.t. Nabi Ismail pula redha dan menyokong disembelih oleh ayahnya kerana taat kepada perintah Allah swt. Begitulah hebatnya sebuah keluarga yang ditarbiyah oleh Allah s.w.t dengan ujian-ujian untuk menguji iman mereka.

Sebagai mahasiswa ataupun professional di Jepun, meskipun ujian yang dilalui tidak sehebat ujian yang dilalui keluarga ini, saya yakin ujiannya tidaklah kecil. Mahasiswa tentu diuji dengan kesukaran pelajaran serta keterhadan masa. Saat itu, marilah kita sama-sama merenung kembali kisah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Nabi Ismail ini.

Semoga hadirnya Aidiladha ini menjadi momentum untuk kita meningkatkan daya juang, kesabaran menghadapi ujian dari pada Allah serta meningkatkan roh keikhlasan untuk berkorban demi agama, bangsa dan negara.

Salam Aidiladha daripada saya, wakil AMIR buat seluruh muslim yang berada di Jepun. Semoga Aidiladha kali ini memberi 1000 makna perubahan. Taqabballahuminna wa minkum.

Leave a Reply