Aku Juga Mahu Syurga – Aspiring Malaysian Rijal

Aku Juga Mahu Syurga

Pernahkah kita merasakan bahawa diri kita  tidak layak membuat kebaikan kerana diri seorang pendosa. Hey! Siapa manusia yang suci daripada dosa? Setiap kita pasti ada kisah hitam yang mahu kita putihkan. Apakah seorang hamba tidak layak untuk berbuat kebaikan hanya kerana dosanya yang silam? Malah walau kerana dia masih berdosa?

Apakah seorang perokok tidak layak menegur seorang yang membuang sampah di tepi jalan?

Apakah seorang mat rempit tidak berhak mengikuti aktiviti sukarelawan?

Apakah kerana tudung mu yang singkat, kau merasa terhalang untuk mengikuti majlis ilmu?

Setiap kita berhak mendapat syurga.

Pernahkah anda mendengar kisah tentang seorang pembunuh yang telah membunuh 99 orang? Barangkali ada yang selalu mendengar kisah yang diriwayatkan oleh Muslim ini. Al-kisahnya seorang pemuda yang telah membunuh 99 orang. Dia ingin mencari seorang yang alim untuk mengetahui perihal taubat. Dalam pencariannya dia menemui seorang pendeta. Namun, ketika dia bertanya apakah taubatnya masih boleh diterima, pendeta itu menidakkan. Lalu dia membunuh pendeta itu. Genaplah 100 orang telah dia bunuh. Tapi dia masih meneruskan pencarian jalan taubatnya.  Akhirnya dia menemui seorang alim, yang bila diceritakan tentang kisahnya; orang alim itu menyatakan bahawa tiada siapa yang menghalangi dia dengan taubatnya. Lalu dia mengajarkan caranya. Pemuda itu pun meneruskan perjalanannya menuju ke sebuah daerah yang mana susananya baik; mengikut kata orang alim itu. Dalam perjalannya, dia menemui ajal. Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab datang lalu bertelingkah perihal syurga atau nerekakah tempatnya roh pemuda ini. Maka datang Malaikat lain mengilhamkan agar diukur jarak jasad pemuda tersebut. Ternyata jaraknya dengan daerah itu paling dekat. Maka Malaikat Rahmat pun membawanya.

Renungilah kisah daripada Hadis Rasulullah SWT ini, sebesar apa pun kesalahan kita, tiada siapa yang boleh menghalangi taubat kita. Urusan berbuat baik itu adalah hak kita kalau kita mahu. Pada penilaian orang lain, mungkin kita orang yang berdosa, orang yang tidak berhak menasihati orang lain, tidak layak untuk menegur dan sebagainya. Tapi kita harus lebih mengetahui, dan mengakui masih ada dosa yang kita berusaha untuk tinggalkan. Allah tahu. Dan orang lain mungkin tak tahu betapa kita berusaha meninggalkan jahiliyyah dan mereka tak perlu tahu kabut perang dalam diri kita. Orang yang seharusnya memberi harapan pada diri kita adalah diri kita sendiri. Pedulikanlah cacian yang tidak membina, bahkan jadikan ianya batu loncatan untuk kita jadi lebih baik.

Tidak cukup dengan kisah pemuda ini, saya datangkan satu lagi kisah yang boleh kita jadikan motivasi untuk tidak lelah mengerjakan kebaikan.

Zaman dahulu, semasa pemerintahan Umar Al Khattab, ada seorang sahabat bernama Abu Mihjan. Abu Mihjan seorang yang mencintai jihad, mendamba syahid. Namun, dia juga terkenal dengan keburukkannya yang selalu tewas dengan arak (khimar). Dia selalu dihukum kerana perbuatannya.

Pada suatu masa, ketika perang melawan Persia, Abu Mihjan tampil ke hadapan untuk bersama-sama dengan tentera lain di bawah pimpinan Saad Bin Abi Waqas. Ketika itu Abu Mihjan termasuk yang paling bersemangat menewaskan musuh. Tapi satu saat, dia tidak dapat menahan keinginannya untuk meminum arak. Kerana perbuatannya itu, Saad Bin Abi Waqas sebagai ketua telah menghukumnya, memenjarakan dan dia tidak dibenarkan mengikuti pertempuran.

Dari dalam penjara Abu Mihjan hanya mendengar suara sahabatnya yang lain berlawan. Sedihnya hati kerana tidak dapat bersama mereka, tidak berbuat apa untuk kemenangan atau syahid! Ada sahabat yang sudah diangkat syahid, tapi dia hanya terbelengu dengan rantai di kaki. Kesedihan Abu Mihjan itu disedari oleh isteri Saad Bin Abi Waqas, Salma. Salma yang sedih dan terkesan dengan kesengsaraan Abu Mihjan itu  membebaskannya tanpa pengetahuan Saad Bin Abi Waqas yang sedang sakit di pembaringan. Abu Mihjan meminta Salma untuk dia menggunakan senjata dan kuda Saad Bin Abi Waqas, Balqa untuk dia bergabung dalam pertempuran, dan dia berjanji kalau dia masih hidup dia akan memulangkannya dan dia sendiri yang akan kembali ke penjara dan merantai kakinya. Tapi andainya dia mati, itulah yang dia nantikan.

Dari kejauhan pembaringannya, Saad Bin Abi Waqas melihat kelibat yang menutupi mukanya sedang hebat menghayun senjata melawan musuh. Saad berkata, “Andai aku tidak mengetahui di mana Abu Mihjan, akan aku katakan itulah Abu Mihjan. Dan andai aku tidak mengetahui di mana Balqa, akan aku katakan itulah Balqa.” Lalu Salma memberitahu hal sebenar kepada suaminya, sehingga Saad BIn Abi Waqas merasa hiba.

Kemenangan akhirnya berpihak kepada tentera Islam. Abu Mihjan masih hidup dan dia kembali ke penjara, merantai semula kakinya. Saad Bin Abi Waqas datang lalu membuka rantai tersebut lalu berkata kepada Abu Mihjan, “Kami tidak akan mrnghukummu kerana arak selamanya.” Abu Mihjan pula menjawab, “Dan Aku, Demi Allah, tidak akan lagi meminum arak selamanya!”

Nah. Ini contoh yang perlu kita ikuti. Walaupun dia melakukan kesalahan, tapi dia tidak pernah menghalangi niatnya untuk membuat kebaikan! Kalau tidak mampu membuat semua kebaikkan, jangan tinggalkan semua kebaikan. Janganlah membatasi diri kita, janganlah menutupi niat kecil jauh di sudut hati kita untuk kita membuat kebaikan. Keburukan akan terhapus setelah datangnya kebaikan!
… Sesungguhnya perbuatan baik itu menghapus kesalahan-kesalahan. …
[Hud 11: 114]
amal baik copy
Harapan selalu ada! Ingatlah bahawa takut sahaja tidak mampu menerbangkan cinta kita kepada Allah. Berharaplah. Dan berbuatlah! Semoga keghairahan kita mengejar syurga akan menghapuskan keinginan kita terjebak dalam neraka.
Sumber: http://www.dakwatuna.com/2014/02/02/45749/berjuanglah-untuk-islam-walau-anda-pelaku-maksiat/#ixzz30MAvMIad

Leave a Reply