Bingkisan Dari Bumi Sakura – Aspiring Malaysian Rijal

Bingkisan Dari Bumi Sakura

Sakura

Lagi beberapa hari bumi Sakura akan diserikan dengan kedatangan kouhai-kouhai yang bakal melanjutkan pelajaran di sini.

Macam mana dengan persiapan nak fly? Saya pasti ramai yang sudah mendapatkan tips persedian daripada senpai-senpai. Barang semua dah siap packing. Kalau flight diawalkan pun mesti dah siap siaga nak datang kan? Oops. Mungkin ada lagi persedian yang kita tak buat. 

Teringat saya sewaktu kali pertama nak menjejak kaki di Jepun. Tahun saya fly adalah tahun gempa bumi besar melanda Jepun. Akibatnya flight kami ditunda sedikit lewat. Walhal keluarga sudah menempah tiket penerbangan untuk menghantar saya di KLIA. Maklumlah duduk Malaysia Timur. Akhirnya kami menghabiskan masa bercuti di Kuala Lumpur. Pada hari penerbangan, semua orang bersama keluarga masing-masing. Saya redha dengan aturan Allah. Dia tahu saya memang kental jauh dari keluarga, lalu Dia hadirkan kakak-kakak usrah datang untuk menghantar saya pergi malam itu. Huhu… Itulah antara saat yang tak pernah saya lupakan dalam hidup. 

Uhuk. Bukan nak tulis diari syok sendiri. Tapi ada dua point utama saya nak kongsi sebagai persiadaan adik-adik yang bakal fly.

 

Keluarga

Dalam baki masa yang tinggal sebelum adik-adik nak fly, santunilah keluarga sebaiknya. Memanglah teruja nak datang Jepun. Tapi nanti nak tunggu balik cuti musim panas, tak keruan homesick dibuatnya. Berbaktilah kepada mak ayah sebelum fly. Jangan asyik keluar rumah jumpa kawan-kawan sahaja. Tapi lebihkan masa bersama keluarga. 

Ringankan tulang tolong buat kerja rumah dan sebagainya, ringankan mulut untuk kata ‘sayang mak, sayang ayah’, berterima kasih dan meminta maaf kalau buat silap. Ya, memang menyantuni orang tua itu bukan sebatas nak fly. Ini perkara asas. Tak perlu ajar pun kita dah tahu. Tapi selalu kita ambil ringan perkara ini.  Minta tolong sangat untuk jaga hati kedua orang tua kita. 

Selain tu belajar masak daripada mak. Bukan apa, kalau kita dah yakin berkebolehan memasak, senang hati mak ayah kita. Mak ayah sangat risau nak lepas anak dara, anak bujang mereka duduk di perantauan.

Bila mak tanya, “Nanti apa lah yang anak mak makan kat sana?”

Jangan pulak jawab,

“Pandailah saya cari makanan kat sana. Senpai kata banyak banyak je kedai makan.”

“Makan maggi lah kalau lapar, mak.”

Jangan. jangan. resah mak kita nanti. Harapnya pesanan ini belum terlambat untuk sisa bebarapa hari lagi adik-adik nak menjejak kaki ke Jepun.

 

Mindset

Bak kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan. Dan semakin jauh, semakin dewasa kita, maka semakin besarlah cabaran yang akan kita hadapi.

Dulu masa darjah enam mak pesan, “Belajar rajin-rajin, biar dapat cemerlang UPSR. Nanti boleh masuk sekolah budak pandai.”

Masa sekolah menengah pula mak pesan, “Belajar, biar cemerlang SPM. Nanti senang. Boleh sambung belajar oversea, dapat kerja elok. Kalau rajin belajar yang untungnya kamu, bukan mak, bukan ayah.”

Begitulah seterusnya. Bila dah habis SPM bukan main lagi seronoknya, apatah lagi bila dapat tawaran melanjutkan pelajaran keluar negara. Tapi bila masuk kolej persediaan, … . Yang menghadapinya sahajalah yang tahu betapa peritnya belajar waktu tu. SPM dah tiada apa pada pandangan. Mulalah ada mindset, penat- susah- dan sebagainya. Malah kita mungkin membandingkan keperitan kolej persediaan kita berbanding tempat lain. 

“(nama kolej persediaan) lagi tension kot. Shukudai melambak nak kena hantar. Sensei tak bagi balik kalau tak siap” 

“Tak… kiteorang lagi dahsyat.”

Tapi dek kerana dah alang-alang ada peluang belajar negara orang, kita pun ada mindset ‘sekarang susah tak apa, nanti kat Jepun aku enjoy puas-puas’.

Wahai. Ketahuilah, besar cabarannya duduk di sini. Pernah sewaktu saya melawat kolej persediaan dulu, ada adik yang bertanya “Kat kolej persediaan ke, kat dai lagi susah study?”

Jawapan saya, semuanya atas pilihan kita sendiri. Kalau dekat kolej persediaan kita ‘dipaksa’ untuk hantar shukudai dan sebagainya, kalau di sini, kita yang pilih nak buat apa. Nak malas datang kelas atau nak ‘bersusah-payah’ datang kelas. Waktu kolej persedian kita ada mindset ‘kena pergi kelas’, ‘kena datang awal’. Tapi dekat sini, ‘sejuk nak keluar selimut’, ‘jauh nak pergi lab’ akan menjadi alasan. Bagaimana untuk menjadi perwira negara kalau cuaca dan geografi pun kita tewas?

Cabaran di Jepun sebenarnya bukan pada bahasa. Saya percaya sama juga di negara lain. Pemikiran, attitude dan matlamat kitalah yang menjadi survival kit  di sini.

Dalam perbincangan kumpulan zemi saya, kami masing-masing diminta membentangkan berkenan thesis kami. Masing-masing bebas memilih tema. Ada seorang dua kawan Jepun yang sensei selalu komen “Itta koto ga wakaranai.” Bahasa sama macam mana sekalipun, hebat macam mana pun anda menguasai bahasa asing, kalau matlamat sendiri pun tak jelas, kita takkan mampu nak sampaikan.

Mokuhyou wa nan desu ka?”

Tanyalah diri anda, apa matlamat anda untuk belajar di Jepun?

Semakin kita jauh menempuh kehidupan ini, semakin besarlah cabarannya. Selepas SPM, Degree, Master, PhD, kemudian bekerja, kahwin dan dapat anak. Apakah kita fikir tanggungjawab kita semakin kecil, dan jalan yang kita tempuhi semakin senang? Tidak. 

 

“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…”     

[Al-Baqarah 2: 286]

 

Kita masuk universiti, tapi bila Allah uji kita dengan ujian yang besar sedikit, kita merungut seolah-olah mahu dilayan seperti seorang kanak-kanak tadika. Padahal Dia tahu kita sudah layak untuk diuji dengan ujian yang lebih besar.

Betulkan mindset kita bahawa kita pasti diuji peringkat demi peringkat. Bukannya nak menakutkan adik-adik. Bila kita ada pemikiran rigid bahawa di sini kelak segala impian kita tercapai, kita boleh menjelajah negara orang dan sebagainya, tapi bila tiba sesuatu ujian yang tidak kita sukai, apakah kita menganggap diri kita malang? 

Saya berharap supaya adik-adik bersedia mentaliti agar redha dengan apapun ujian yang Allah beri. Ujian ini lah berbentuk pendidikan yang paling bermakna dalam kehidupan kita. Dan ianya berupa hadiah bagi orang yang beriman.

 

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” 

[Al-Ankabut 29: 2]

 

Bagi yang akan bermusafir kelak banyakkan istighfar sepanjang perjalanan agar Allah lapangkan hati, untuk menerima apa sahaja aturan Nya.

Akhir kata, semoga cemerlang dalam pelajaran dan selamat menerima hadiah-hadiah daripada Allah di bumi Sakura. 🙂 

Leave a Reply