Destinasi – Aspiring Malaysian Rijal

Destinasi

 

Lapangan terbang sudah menjadi seperti tempat permainanku. Mataku sudah bosan melihat pekerja-pekerja dengan baju warna merah dan hitam mereka; sibuk dengan tugasan masing-masing. Masuk kali ini sudah lima kali aku menaiki pesawat dalam masa sebulan. Sedari muda, memang sudah terbiasa menaiki pesawat, maka tiada jet lag bagiku. Begitu juga perasaanku kini. Aku sudah terbiasa; biar tiada berteman, tapi tiada sunyi. Demi untuk menuntut ilmu, biar jauh, biar terpaksa berseorangan.

Aku lebih senang menatap pemandangan langit yang dihiasi awan biru dari jendela besar lapangan terbang ini. Walaupun hakikatnya di lapangan terbang ini ramai manusia yang teruja untuk ke destinasi masing-masing, suasana itu tidak mengganggu sunyiku bersama Tuhan. Aku lebih senang bermonolog dengan Nya, sambil menulis catatan ini. Kadang-kadang atau mungkin juga kebiasaan kita, selalu ‘memilih’ waktu untuk berbicara dengan Nya. Sehingga tiba masa yang kita pilih itu, kita tewas dengan kehendak al-hawa yang lain, lalu membiarkan pergi waktu yang telah kita pilih.

Aku berbicara dengan diri ku sendiri. Menilai waktu yang telah aku pilih, dengan waktu yang berjaya aku penuhi untuk bersama Nya. Hampir saja aku menitiskan air mata. Betapa banyaknya waktu aku rancang untuk berbuat kebaikan dan betapa sedikitnya waktu yang benar-benar aku manfaatkan untuk kebaikan dan penghambaan pada Nya. Astaghfirullah. Sebulan bercuti ini memang menguji hubungan aku dengan Tuhan.

Lenaku dikejutkan oleh henjutan pesawat. Aku menggosok-gosok mata, cuba melihat keluar jendela dalam keadaan gelap pesawat di malam hari. Pancaran cahaya berwarna putih kebiruan sekali-sekala kelihatan. Guruh. Cuaca buruk. Takut juga dibuatnya apabila pesawat tidak stabil, ke atas dan ke bawah. Terhuyung-hayang.

Dalam keadaan begini paling pantas yang terlintas di ingatan adalah mati. Ya Allah. Aku belum bersedia. Amalku masih kurang; dosaku masih menggunung. Aku terkenang-kenang futurku selama sebulan.

Aku melihat pasangan suami isteri warga Vietnam masih lena dibuai mimpi. Aku melihat jam tangan, sudah pukul 3 pagi. Tanpa niat mahu mengejutkan mereka dari tidur, aku perlahan bangun dan berusaha melangkah keluar dari barisan kami untuk ke tandas.

Selasai solat, aku menadah tangan berdoa agar Allah selamatkan di dunia dan di akhirat, agar Allah memberi pengakhiran yang baik untukku. Dan khusus untuk perjuangan di destinasi yang ku tuju ini; semoga aku dikuatkan untuk melangkah di jalan ini, untuk meneruskan perjuangan dalam pelajaran mahupun dakwah  lagi setahun setengah di Jepun kelak. Dan semoga aku tidak lelah mengutip segala hikmah yang Dia hamparkan untuk ku sepanjang jalan ini, manis mahupun pahit. Himmah yang pudar kian kembali.

Biarlah jarak, masa, tenaga, harta dan jiwa menjadi taruhan demi mencari redha Illahi.

YaAllah, sampaikan aku kepada Mu

Leave a Reply