[Karya 3R] Cahaya Itu Infiniti – Aspiring Malaysian Rijal

[Karya 3R] Cahaya Itu Infiniti

“Maka, tamatlah pelajaran kita untuk hari ini.”

‘Akhirnya…’ aku terus meletakkan kepalaku di atas meja. Tidur.

“Nurul-san!”

Oh, tidak! Lenaku diganggu!

“Jom makan!?”

” Erm..maaf ya, saya puasa hari ni.”

Aku menghadiahkan senyuman bagi menutup rasa bersalah dalam diriku.

Selalunya, aku akan menghabiskan masa rehatku bersama gadis ini. Hikari namanya. Seorang yang ceria dan sentiasa tersenyum.

“Oh, yeke?”

Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala.

‘Maaf sahabat, tak dapat teman kau seperti selalu.’ Bisikku dalam hati.

Oklah kalau macam tu..jumpa lagi.”

Ok…”

Hikari pergi membawa bersama cahaya lampu bilik kuliah.

Aku lena kembali.

 

“Nurul, nak beli baju raya yang macam mana?” tanya Ummi.

“Macam biasa je. Baju kurung,” balasku.

“Esok kita keluar, pergi beli baju raya,” kata Ummi lagi.

“Yeay!! OK!”

‘Eh, gempa ke? Tapi sejak bila pulak Malaysia ada gempa?’

“Nurul-san! Nurul-san!”

‘Suara siapa pulak ni?’

Perlahan-lahan aku membuka mata. Aku masih di Jepun rupanya.

Ummi, baju raya, Malaysia itu tadi hanya mimpi. Jauh benar aku bermimpi.

“Nurul-san, awak dah solat ke?”

Suara Hikari memecah lamunanku.  Aku melihat jam di tangan. Lagi 15 minit kelas akan bermula, tetapi aku masih belum menunaikan Zuhur. Terima kasih kepada Hikari kerana mengejutkan aku.

“Haah! Belum lagi.”

Aku bingkas bangun, menuju ke tempat biasa.

Allahuakbar!”

 

“Hikari, terima kasih.”

“Terima kasih untuk apa?”

“Terima kasih sebab kejut saya tadi,” balasku sambil tersenyum.

“Oh, hal kecil je tu!” Hikari tersenyum.

“Tapi besar bagi saya,” balasku serius.

“Tak ada apa-apa la..saya cuma tak nak awak kena marah je.”

“”Eh!?”

“Yalah, hari tu kan saya tanya awak kenapa awak kena solat.”

“Haah..??”

Buntu aku memikirkan kaitan aku kena marah dengan soalannya tempoh hari.

“Awak kata sebab itu sudah perintah daripada Tuhan, maka kena patuh walau macam mana pun. Jadi, kalau awak tak buat, mestilah awak kena marah dengan Tuhan awak. Sebab tu saya kejutkan awak. Saya tak nak tengok kawan saya kena marah,” terangnya panjang lebar.

“Oh..,” aku hilang kata-kata. Kadang-kala, ada juga datang rasa malas untuk menunaikan solat. Tetapi, tidak pula aku terfikir bahawa aku akan dimarah Allah. Aku hanya terfikir yang aku hanya akan dimarah oleh teman serumahku di Jepun ini sahaja.

Astaghfirullah.

‘Lagi islam dia daripada aku.’ Malu!!

“Saya rasa macam nak belanja awak sebagai tanda terima kasih.”

“Tak payahlah susah-susah. Awak teman saya makan tengah hari esok pun dah ok.”

OK!”

 

“Eh, awak tak nak makan apa-apa ke?” tanya Hikari kepadaku.

Aku mengelenggkan kepala. “Saya puasa.”

“Puasa lagi? Esok?”

“Masih puasa.”

“Eh, sampai bila awak kena puasa?”

“Sampai sebelum raya Aidilfitri,” balasku sambil menghadiahkan senyuma manis.

“Eh!?” berkerut muka Hikari demi menghadam jawapanku.

“Raya tu apa? Bila?”

“Perayaan untuk orang Islam. Lagi 28 hari lagi raya la..”

Sudah terbayang dalam kepalaku rendang kerang, lontong, kuah lodeh. ‘Sedapnya!!’

“Kesiannya..”

“Eh, apa?” Hikari memandang aku dengan muka yang penuh simpati terhadapku.

“Kesian awak. Kena puasa sebulan. Susah kan? Tak boleh makan, tak boleh minum.”

“Eh, takpe je. Pagi-pagi, makan dulu sebelum berpuasa. Malam pun makan lagi.

“Err.., maksudnya? Bukan kena puasa sepanjang sebulan tu ke?”

Eto, sebenarnya, puasa tu ada tempoh dia. Setiap hari dibenarkan makan selepas berbuka sehinggalah sebelum berpuasa balik pada esok hari. Betul puasa sepanjang sebulan tetapi bukanlah sebulan yang langsung tak boleh makan atau minum.”

“Oh! Naruhodo..”

“Maaf, penerangan panjang lebar,” aku menggaru-garu kepala yang tiba-tiba gatal. Maklumlah sudah tiga hari tidak bersyampu.

“Tak apa..tak apa..saya dapat belajar sesuatu yang baru hari ini.”

 

“Oh, panasnya!!” Hikari mengipas-ngipas mukanya.

“Tak panas ke?”

“Panas,” aku menganggukkan kepala.

Daijoubu?” tanya Hikari lagi.

Daijoubu…?” aku memandangnya pelik.

“Awak kan sedang berpuasa!?”

“Oh, daijoubu! Panas ke, sejuk ke, kalau dah perintah Tuhan , kenalah patuh. Betul tak?”

“Betul..betul..betul..”

“Err..saya nak tanya sikit boleh?”

Aku memandang Hikari dengan muka penuh tanda tanya.

“Macam mana awak tahu awak kena berpuasa? Maksud saya macam bukti ke..”

“Oh, sekejap ye.”

Aku mencari-cari iphone kesayanganku. Lalu aku membuka aplikasi al-Quran.

“Ini salah satu bukti dia.”

 

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa,      sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu.            Mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Al-Baqarah : 183)

 

Hikari membaca dengan penuh khusyu’.

“Bagusnya agama awak.”

“Kenapa?”

“Awak ada manual yang hebat. Segala-galanya diterangkan dengan jelas dalam manual ini.”

Betul, aku ada manual yang hebat namun tidak semua insan seagama denganku sedar akan kehebatan manual ini. Kesal.

“Eh, kenapa awak nampak sedih?”

Aku bertanya kepada Hikari. Apakah hatinya telah tersentuh dengan Islam? Mudah-mudahan.

“Tak ada apa-apa. Jom makan!”

“Saya puasa.”

“Eh, lupa! Gomen ne.”

Daijoubu.” Senyum.

 

‘Kenapa rasa macam dah lama tak nampak Hikari eh?’

‘Entah kan sihat, entah kan tidak.’

‘Rindu pulak aku dengan dia ni.’

‘Haih..padahal baru semalam je tak jumpa dia.’

‘Eh, apa benda cucuk-cucuk aku ni..?’

Aku mencari-cari dari mana datang cucukan itu.

Konnichiwa!” Hikari menyapa ceria.

“Eh, konnichiwa!”

“Sihat?”

“Sihat. Awak pergi mana semalam?”

“Oh! Tak ke mana-mana pun. Saya duduk rumah je semalam.”

“Kenapa? Tak sihat ke?”

“Sihat je. Saya cuba berpuasa sebenarnya semalam.”

“Eh, maji!? Macam mana?”

“Erm, ok je..!”

 

“Hikari, awak tak pergi makan ke?”

Aku bertanya Hikari yang sedang leka mencoret sesuatu.

“Hari ni tak pergi.”

“Kenapa?”

“Sebenarnya saya puasa hari ini.”

Balas Hikari. Tersenyum riang.

“Oh! Jom buka puasa di rumah saya hari ini. Saya masakkan yang special untuk awak.”

OK!!” Ternyata cahaya Allah itu infiniti sifatnya. Tidak terbatas kepada individu tertentu sahaja. Aku doakan agar nur Islam terus menyinari hatimu. Terang bak Hikari, namamu. Amin!.

 

Hasil nukilan : RAUDHATUL MURSYIDAH =)

Leave a Reply