Langit Merdeka – Aspiring Malaysian Rijal

Langit Merdeka

“Kau mahu bebas merdeka, Man?” tanya Zafril memecah kesunyian di halaman rumahnya.

Syahman senyap dengan pertanyaan sahabat baiknya. Di benak hati Syahman bukan jawapan mahu atau tidak, tapi dia menunggu penjelasan sahabatnya bagaimana mahu berjiwa bebas.

Pertanyaan itu bukan tiba-tiba. Tapi pertanyaan yang tercetus setelah dia bercerita perbualannya dengan ayah dan kakaknya tempoh hari.

“Yah, nenek… setiap kali kita balik kampung, mesti cerita pasal zaman penjajahan, kan? Dah ingat dah semua jalan cerita nenek. ” Syahman sengaja mengajak ayahnya yang sedang memandu di sebelah berbual.

Ayahnya yang tadi kelihatan mengantuk kembali segar. Dari kampung nenek ke rumah mereka memakan masa enam jam perjalanan. Tapi musim perayaan sebegini paling tidak tujuh jam juga jauhnya.

“Memanglah, Man. Pengalaman tu bukan semua orang rasai. Mereka yang hidup zaman tu saja tahu keperitan waktu tu. Lari masuk hutan, makan ubi kayu dan ulam-ulam, buat baju dengan guni…” ujar ayahnya.

“Kuat betul ingatan orang dulu-dulu, kan?” sampuk kakaknya yang duduk di belakang setelah menghabiskan tilawah. Ibu yang di sebelah kakak lena bersama adik di pangkuan.

“Alhamdulillah kita dah merdeka.”

“Merdeka bukan bebas dari penjajahan kuasa barat mahupun timur, Man. Entahlah. Tengok lah masyarakat kita sekarang… bergaduh kerana perkauman, terlibat dengan gejala songsang, dadah dan corruption. Jiwa sesetengah orang kita masih belum bebas, Man.” ujar ayahnya lagi lalu mencapai air tin red bull.

“Kau tahu apa penjajah kita sekarang, Man?”

“K-pop!”

Kakaknya yang bertanya, kakaknya sendiri yang menjawab.

“Kakak tak payah perli Man lah…” marah Syahman.

Kakaknya hanya tergelak kecil.

“Man on the way nak tinggalkan lah ni…”

Burung berkicau seolah mengingatkan Syahman kembali kepada pertanyaan sahabatnya tadi.

“Kau tengok burung tu.” kata Zafril seraya menunjuk pada seekor burung pipit yang terbang hinggap di atas pagar berdekatan bangku mereka duduk.

Dia lalu bersiul sehingga membuatkan burung pipit itu terbang pergi.

“Nak terbang bebas, kita kena ada dua sayap seperti burung. Sayap petama adalah takut, Man. Kerana takut akan memagari engkau daripada kelakuan bodoh, kelakuan yang menyalahi tatasusila, menyalahi fitrah manusia…” jelas Zafril.

“Bunyi macam tak bebas, Zaf.” potong Syahman.

“Apa sebelah sayap pula?”

Zafril senyum melihat wajah sahabatnya yang berkerut.

“Sayap kedua… adalah harapan. Harapanlah cinta. Yang seolah memberi maaf di saat kau sedar telah berbuat salah. Harapanlah semangat dan keberanian. Yang akan membuatkan kau bangkit setelah jatuh. Orang yang tak ada harapan, tak akan mampu berbuat apa-apa untuk dirinya, Man.”

Waktu perbincangan sebegini Syahman memang lebih suka mendengar kata-kata mutiara daripada sahabatnya walau kadang-kadang dia kurang sabar menunggu bicara Zafril. Zafril bukan saja dihormati kerana keluhuran budi pekertinya dalam kalangan teman-teman kampus, tapi juga bicaranya tak pernah kosong. Tidak seperti tin yang diketuk bising bunyinya, tapi dalamnya kosong. Dia berbicara hanya bila perlu, dan setiap bicaranya selalu terisi dengan nasihat, semangat dan hikmah.

Syahman menunggu lagi kata-kata Zafril.

“Tapi harapan tanpa takut, tanpa peraturan, tanpa hukum hanya membuat kita menjadi manusia yang manja, lemah, cuai dan tewas.” sambung Zafril.

“Tanpa garis pandu, tanpa rasa diawasi… kita berbuat sesuka hati, kita jadi huru-hara.” ucap Syahman perlahan.

“Benar, Man. Cukup sepasang sayap itu, kebebasan kau yang punya. Kau boleh terbang bebas…” kata Zafril seraya menunding jauh ke langit senja.

“Terbang menuju ke mana, Zaf?” tanya Syahman. Matanya mengikut ke arah langit yang ditunjuk Zafril.

“Rabb…” jawab Zafril perlahan dan ringkas.

Syahman senyap.

“Masjid, jom!” ajak Zafril mematikan topik perbincangan mereka. Dia sudah berdiri.

Syahman juga lalu ikut berdiri mengambil tempat di sebelah kanan Zafril. Mereka jalan beriringan meninggalkan halaman rumah menuju ke masjid berdekatan. Sekejap lagi azan Maghrib akan berkumandang.

“Dalamnya maksud kata-kata kau tadi, Zaf.” kedengaran sebuah beban dalam kata-kata Syahman. Dia masih dengan topik perbincangan tadi.

Zafril diam memberi ruang kepada sahabatnya meluahkan apa di benak hati lalu menepuk perlahan bahu kanan sahabatnya. Seakan mahu berguguran beban di hati Syahman.

“Aku mahu jadi hamba Tuhan yang merdeka, Zaf.” Syahman menoleh kepada Zafril yang masih menyangkutkan tangannya pada bahu kanan Syahman.

Zafril menepuk sekali lagi bahu kanan sahabatnya.

“Aku juga, Man. Aku juga.”

Leave a Reply