[Karya 3R] Mimpi Perubahan – Aspiring Malaysian Rijal

[Karya 3R] Mimpi Perubahan

KEJADIAN yang aneh telah terjadi dalam hidupku. Benar-benar aneh. Aku terbaring lemah di atas katil buruk di sebuah hospital. Aku dapati tanganku sudah digari ke kepala katil. Gari itu pula berat sekali. Kakiku? Ah, dirempongkan juga!

Sekeliling bahagian dahiku pula berjahit dengan benang. Perit sungguh. Kurasakan seperti doktor-doktor itu telah membelah tempurung kepalaku. Entah apa tujuannya, aku sendiri tidak mengerti. Aku cuba menggerak-gerakkan jari-jemariku. Ah, aku tidak bebas bergerak! Kubuka mataku perlahan-lahan. Kelihatan kelibat-kelibat manusia di kiri, kanan, depan dan belakangku. Ada juga kelibat manusia gesit lalu-lalang membawa dulang ubat-ubatan dan menolak troli. Suasana malap.

Tiba-tiba seorang jururawat mendekatiku. Mukanya tersenyum. Manis wajahnya berpuput senyuman. Gari pada tangan kiriku dibukakan. Dia memegang tanganku dan membiusku dengan cecair berwarna biru tua keunguan. Barangkali ubat tidur, tekaku.

“ Ubat apa ini cik? Iodinkah?”

“Maaf encik, preskripsi ini dirahsiakan. Rahsia!”

“Mengapa pula, bukankah saya pesakitnya? Justeru, saya harus tahu semua ini, cik. Apa ia memang preskripsi sulit?”

Dia menggaru-garu kepalanya, kemudian menjungkit bahunya beberapa kali. Lalu, pergi dari situ tanpa berbicara apa-apa. Aku pula yang semakin kehairanan. Hairan kerana semua orang di situ semacam aneh tindak-tanduk mereka. Sudahlah begitu, suasana di sini juga hambar dan kelam. Tidak seperti hospital biasa yang pernah kulewati. Sibuk dan riuh rendah. Lain dengan yang ini.

Benar-benar lain. Malam itu aku tidak dapat melelapkan mata walau sepicing. Sempit dan rimas rasanya kamar ini. Badanku terus berpeluh-peluh. Suis kipas tidak dibuka. Aku kepanasan. Tidak, aku harus bergerak dan memasangnya segera. Aduhai, betapa bodohnya aku! Bukankah kedua-dua tanganku bergari? Aku meronta-ronta. Bagaimana bisa aku ke sana?Ah, tidak dapat kubertahan lagi dengan suhu begini! Mengapalah aku berada di sini. Aku sendiri tidak tahu sebabnya.

Seingat aku tempat terakhir yang aku pergi ialah ke sebuah kelab malam. Mungkin setelah aku mabuk aku terus memandu pulang. Barangkali aku kemalangan. Kemudian, dirawat di sini. Entahlah, itu cuma andaianku. Ataupun aku dipukul oleh sahabatku sendiri kerana kalah judi.

Ya, memang malam itu aku tewas lagi. Itu juga salah satu terkaanku yang tak terbukti. Aku mahu bertanya doktor itu, mengapa aku di sini. Tapi dia membisu seribu bahasa. Mukanya pula masam mencuka. Aku semakin cemas dengan orang-orang di sini. Seolah-olah aku telah membuat banyak masalah. Pandangan mereka yang tajam kepadaku seperti aku ini musuh mereka. Musuh utama. Aku meraung semahu-mahuku. Aku khuatir ditikam oleh mereka sampai mati. Mati dengan sakit derita.

Seorang doctor lelaki mendekati lalu memanggil namaku, “Encik Haikal.”

“Ya, saya.”Aku menjawab tenang.” Dia menyambung, “Sebentar sahaja lagi anda akan dimasukkan ke kamar bedah.”

“Sekali lagi? Tapi doktor, untuk apa pula kali ini?” Sambil menyediakan alat-alat pembedahan, dia berkata, “Tanganmu akan dipotong dari hujung jari hingga ke pangkal siku.”

“Kedua-duanya sekali doktor?” Jawabnya, “Ya, kedua-duanya sekali”

“Kenapa perlu begitu doktor? Tangan saya ini masih sempurna. Masih bias digunakan lagi! Saya merayu doktor, jangan dipotong. Kasihanilah saya…”

Semakin tertekan kurasa. Sudahlah kepalaku ditebuk, tanganku pula mahu dikudungkannya. Apa semua ini? Semuanya berlaku tanpa aku sendiri mengerti alasannya. Daripada mereka menyeksaku begini, lebih baik aku dibiarkan mati saja! Apa gunanya aku hidup begini? Ya Tuhanku, bantulah aku. Aku tak sanggup melihat tanganku kudung.

Nampaknya doaku tidak dimakbulkan. Aku ditolak ke dalam kamar bedah lagi. Aku meraung sekuat hati. Tapi aku tak bisa lari. Tangan dan kakiku masih bergari. Empat orang doktor di sekelilingku bersarung tangan getah. Mulut bertutup. Seorang doktor dibantu oleh dua orang jururawat. Operasi pembedahan berjalan. Bukan sahaja tanganku akan dipotong, malah mereka melakukannya dalam keadaanku yang sedar. Aku hanya mampu memejamkan mata semahu-mahuku.

Sebaik sahaja tamat pembedahan, doktor dan jururawat ketawa berdekah-dekah.  Mereka meninggalkanku sendirian di dalam kamar bedah. Mereka keluar seolah-olah tiada apa-apa berlaku. Biarlah mereka dengan keseronokan itu. Aku kini merasa bebas. Bebas untuk bergerak. Bebas untuk ke mana-mana walaupun tanpa kedua-dua belah tanganku.

Tapi, bagaimanakah kesanggupanku menghadapi masyarakat di luar sana? Aku malu kerana tidak sempurna lagi. Aku malu untuk berjumpa kakakku, Aryanti. Sudahlah aku banyak berhutang dengannya. Wang yang dipinjam habis dibuat berjudi. Dan kini, aku tak punya apa-apa lagi. Tak punya wang atau sebarang harta. Tak punya jari-jemari atau tangan!

Fikiranku semakin berselirat. Apakah aku harus mencari kerja untuk mendapatkan wang? Wang untuk melangsaikan hutang-hutang Kak Yanti? Dan dalam keadaan cacatku sebegini, siapakah yang sanggup menerimaku bekerja? Siapa? Aku tak bisa menulis, menaip atau mengangkat barang lagi. Aku bingung. Tuhan!

Mimpi buruk itu mengganggu tidurku lagi. Ya, mimpi yang hampir sama dengan sebelumnya. Mataku yang terkatup lama terbuka perlahan-lahan. Juzuk-juzuk cahaya menerobosi anak mataku. Seputar mataku terasa pedih setelah keluar dari dimensi mimpi yang maha dasyat itu.

Astaghfirullahhalazim.

Mimpi ini benar-benar telah membuatkan aku terfikir. Perasaanku yang bergalauan terjeda. Sekarang aku hanya mampu memikirkan bilakah detik kematianku. Setahun? Sebulan? Sejam? Seminit dua atau beberapa saat lagi? Atau tinggal sedetik lagi? Tuhanku, sungguh, aku bertaubat! Aku bersiap dan terus berangkat ke rumah kakak.

“Kak Yanti, Haikal minta maaf kak! Mintak maaf banyak-banyak…”

“Minta maaf kenapa? Kenapa kamu berlutut begini? Cepat bangun. Kalau ya pun mari masuk dulu. Hari pun dah gelap ni.”Kak Yanti yang sedang bertelekung mempelawaku semesra dulu meskipun sebelum ini aku sering sahaja berkasar terhadapnya.

“Apa yang terjadi denganmu?” Aku menarik nafas dan menerangkan, “Kak Yanti, tadi saya bermimpi yang aneh sekali. Ia membuatkan saya berfikir dan bermuhasabah diri. Saya mahu bertaubat. Saya mahu berubah. Saya tidak akan berjudi lagi. Saya tidak akan minum arak lagi. Saya tidak akan ke lorong maksiat itu lagi. Tidak akan lagi. Saya berjanji akan melangsaikan semua hutang kakak sebelum ajal saya sampai. Saya mahu berubah kak! Kak Yanti bimbing saya ya!”

Dia tersenyum. Aku dapati garis-garis kelegaan terukir pada senyumannya itu. Aku menghulurkan lima puluh ringgit kepada Kak Yanti. “Bakinya aku pulang kemudian ya kak. Boleh kan?” Kak Yanti membalas, “Ya sudah, kakak tak kisah. Syukurlah. Nampaknya doa akak sudah dimakbulkan Tuhan. Lepas solat Maghrib, akak selalu mendoakanmu supaya berubah dan kembali ke jalan-Nya. Alhamdulillah.”

“Terima kasih kakak. Aku sangat terhutang budi. Budi baikmu.” Kak Aryanti terus menasihatiku, “Ingat Kal, Allah itu Maha Pengampun. Janganlah kamu ulangi kesilapan lampau. Sentiasalah ingat akan nikmat-nikmat yang dikurniakan-Nya. Bertaubat nasuhalah kepada-Nya. Insya-Allah banyak berkatnya dalam bulan Ramadan ini.”

Hari itu, 15 Ramadan. Separuh Ramadan yang telah kubazirkan tidak akan kembali lagi. Aku mahu bermuhasabah dan berubah. Laungan azan Maghrib bergema di perabung senja. Kak Yanti tulus mengajakku,.“Ayuh Kal, mari kita solat Maghrib berjemaah di surau.”

 

Hasil nukilan : Muzaf Ahmad

Pernah disiarkan di Utusan Melayu Mingguan (22 April 2013)

Leave a Reply