Kisah sekuntum bunga – Aspiring Malaysian Rijal

Kisah sekuntum bunga

20151004_141341

Sejak dari kecil, aku seringkali melihat rutin harian arwah ibuku. Minatnya pada bunga membuatkan laman rumahku dipenuhi dengan pelbagai jenis bunga, tidak ubah seperti taman bunga yang penuh dengan bunga yang mekar dan mewangi. Saban hari arwah ibu akan menyiram dan memeriksa agar bunga-bunga kesayangannya tidak dirosakkan oleh serangga-serangga perosak. Adakalanya arwah ibu kesedihan tatkala melihat ada bunganya yang kelayuan atau rosak dimakan serangga. Namun dibajai dengan baja yang secukupnya dan dijaga dengan penuh kasih sayang, membuatkan bunga yang kelayuan dan rosak tadi kembali mekar dan mewangi semula.

Semakin aku menginjak usia, aku cuba fahami dan cuba untuk melihat salah satu rutin harian arwah ibuku ini daripada satu sudut yang berlainan. Sesuatu yang aku pelajari dan bisa aku praktikkan dalam hidupku.

Bayangkan bunga itu seperti manusia. Diasuh, dididik dan melalui pelbagai fasa kehidupan. Kita sedar yang anak-anak kecil ini ibarat lembaran kain putih yang suci, maka tatkala ia meningkat dewasa, lembaran yang dulunya putih, kini dipenuhi dengan pelbagai warna yang membentuk corak kehidupan yang dilaluinya. Lembaran ini akan terus dipenuhi pelbagai warna sehinggalah manusia itu kembali menemui Maha Pencipta.

Di atas lembaran ini, tidak semua warna yang mewarnai lembaran ini indah belaka. Pasti yang jelek juga mengambil tempat di atas lembaran kehidupan ini. Seperti bunga yang kelayuan dan dirosakkan serangga, ada masanya manusia juga merasa sebegitu. Merasa layu dek bebanan kesilapan di masa silam, juga pelbagai pengaruh luar dan fitnah dunia masa kini yang semakin menyesakkan dada, membuatkan dirinya terkadang tewas dalam mengatur kehidupannya. Keadaan bisa menjadi lebih buruk andai mereka dipandang serong oleh masyarakat sekeliling apatah lagi oleh ahli keluarga. Ini hanya membuat mereka jatuh lagi dalam sehingga sampai satu tahap mereka sudah berputus asa dengan kehidupan mereka sendiri sehingga sanggup mengambil nyawa sendiri.
Bayangkan apa akan terjadi andai bunga yang kelayuan dan rosak tadi, tidak kita bekalkan baja dan menjaganya semula dengan rapi. Pasti bunga, akan tinggal pada namanya sahaja.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain, (karena) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olok), dan jangan pula perempuan-perempuan (mengolok-olokkan) perempuan lain, (karena) boleh jadi perempuan (yang diperolok-olokkan) lebih baik daripada perempuan (yang mengolok-olok). Janganlah kamu mencela antara satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman. Dan barang siapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (49:11)

Bagaimana?

Rasa tertampar seketika?

Marilah sama-sama kita renungkan kembali.

Adakah kita pernah melakukan sedemikian?

Kita mungkin melihat kekurangan atau sisi yang kurang baik seseorang. Tetapi itu tidak bermakna kita boleh memandang serong pada dia. Kerna barangkali aib kita masih lagi banyak yang disembunyikan oleh Dia, berbanding kekurangan seseorang yang kita nampak. Maka sebelum kita menghakimi seseorang atau yang lebih buruk menyebarkan kekurangannya pada orang lain, pertimbangkan dahulu. Setiap benda yang berlaku ada sebabnya dan pasti ada kisah yang membuatkan seseorang itu jadi sebegitu.

Berlapang dada, dan jadilah lebih kreatif andai kita ingin membantu mereka.

Seperti bunga yang mampu mekar semula selepas dibajai dan dijagai rapi, manusia juga mampu untuk berubah menjadi lebih baik daripada sebelumnya andai peluang dan harapan itu diberikan semula untuknya.

Hari ini cuba kita duduk sebentar, lihat sekeliling kita.

Mungkin ada benda baru yang kita boleh pelajari.

Leave a Reply